Karpal Mahu Bertolak Malam Untuk Persiapan Kes Mahkamah – Dakwa Anak Gobind Singh Deo


Karpal Mahu Bertolak Malam Untuk Persiapan Kes Mahkamah – Dakwa Anak Gobind Singh Deo.

IPOH: Karpal Singh berkeras untuk bertolak ke Pulau Pinang pada waktu malam supaya beliau boleh membuat persiapan untuk kes mahkamah pada Khamis, kata anaknya,Gobind Singh Deo.

“Saya bertemu dengannya buat kali terakhir di Hospital Pantai, Bangsar apabila saya mendapatkan rawatan disana.

“Kami berbual sekejap saja dan beliau memperkatakan banyak perkara dan akan berbincangkan mengenainya kemudian,” kata Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong.

Gobind berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada isterinya mengenai insiden tersebut kira-kira pukul 2.15 pagi Khamis.

“Isteri saya mahu mendapatkan pengesahan dan kami kemudiannya bergegas balik ke Kampar.

“Kami melihat mayatnya dan Michael, yang juga penjaganya, yang duduk di kerusi belakang Karpal di dalam kereta itu,” katanya.

Gobind berkata, adiknya, Ramkarpal dan pemandu, C Selvam yang turut berada di dalam kereta itu hanya mengalami kecederaan ringan.

Pembantu  rumah Karpal Singh, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak.

Gobind berkata beliau akan mengumumkan tarikh pengebumian bapanya nanti.

“Ramai rakan dan ahli keluarga yang berada di luar negara mahu pulang dan memberikan penghormatan terakhir di rumah kami di Jalan Utama, Pulau Pinang.

“Kami merancang untuk melakukan pada petang Sabtu atau pagi Ahad untuk memberi peluang kepada mereka mengatur perjalanan,” katanya. – mStar Online

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.