PRK Kecil DUN Kajang: Anwar Ibrahim lantik DS Dr Wan Azizah Wan Ismail mewakilinya


Wan Azizah calon dipilih ganti Anwar

Kajang: Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipilih calon pakatan pembangkang bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menggantikan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pengumuman dibuat sendiri Anwar di sini semalam, sekali gus mengetepikan andaian sebelum ini yang mengaitkan anak mereka, iaitu Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah sebagai calon, selain Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar yang sebelum ini menamakan dirinya calon PRK itu, tetapi kemudian menarik diri selepas Mahkamah Rayuan, Jumaat lalu, mendapati beliau bersalah dalam kes liwat, menyifatkan isterinya calon paling sesuai membawa cabaran PKR.

Zaid tarik diri

Susulan pengumuman itu, bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim turut menarik diri daripada bertanding, sekali gus membuka saingan satu lawan satu di DUN Kajang antara PKR dan BN yang mencalonkan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.

“Pemilihan ini (Dr Wan Azizah) juga mesej yang ingin disampaikan kepada BN dan UMNO bahawa usaha mereka untuk menghalang saya bertanding di sini tidak berjaya,” kata Anwar yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan selepas didapati bersalah meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Ditanya alasan pemilihan Dr Wan Azizah, Anwar yang juga ketua pembangkang, berkata pemilihan isterinya itu dipersetujui semua pihak berkaitan termasuk Saifuddin yang mahu menumpukan tugasnya dalam parti walaupun diminta menjadi calon PRK terbabit.
Sekat Anwar capai cita-cita

Sementara itu, Zaid dalam satu kenyataan semalam, berkata, beliau menarik diri berikutan Anwar tidak lagi boleh bertanding dalam PRK berkenaan susulan keputusan Mahkamah Rayuan.

Katanya, sebelum ini beliau menyatakan hasrat bertanding dengan tujuan menyekat Anwar daripada mencapai cita-citanya menjadi Menteri Besar Selangor yang juga batu loncatan untuk ketua pembangkang itu menawan Putrajaya..
Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.