Kuala Lumpur: Dua nelayan di Kelantan mendakwa melihat sebuah pesawat terbang rendah, kira-kira lapan batu nautika dari Pantai Kuala Besar, Kota Bharu, awal pagi Sabtu lalu.
Azid Ibrahim, 55, berkata dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, dia sedang memancing bersama seorang rakan apabila jelas dapat melihat pesawat terbabit terbang di bawah awan, tidak seperti biasa.
“Kami pelik kerana biasanya, pesawat tak terbang serendah itu. Kami takut ia terhempas, tapi pesawat terbabit terus terbang rendah menuju arah utara,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Azid berkata, dia menonton televisyen kelmarin dan terkejut apabila mengetahui kehilangan pesawat MH370 bersama 227 penumpang dan 12 kru sebelum rakan yang bersamanya ke laut, bercerita kisah mereka melihat sebuah pesawat terbang rendah kepada penduduk lain.
“Pagi tadi (semalam), beberapa anggota polis datang ke rumah mengambil keterangan bagi membantu siasatan kehilangan pesawat itu. Saya kemudian diminta ke balai polis untuk buat laporan selain menunjukkan lokasi terakhir melihat pesawat terbabit,” kata bapa lima anak itu yang membuat laporan di Balai Polis Pengkalan Chepa.
Ditanya sama sama ada melihat asap atau api dari pesawat itu, Azid berkata, mereka tidak melihat tanda menunjukkan pesawat berkenaan mengalami masalah.