Pembantu rumah bermasalah kerap menimbulkan dilema kepada majikan. - Gambar hiasan
Difitnah pembantu sendiri
Pembantu rumah bermasalah kerap menimbulkan dilema kepada majikan. - Gambar hiasanKISAH ini menurut Rozana (bukan nama sebenar), 33, telah berlaku kira-kira tiga tahun lalu, ketika Rozana dan keluarganya bertugas di Kuala Lumpur dengan menyewa di sebuah kondominium yang terletak di Selayang.
Disebabkan kehidupan di Kuala Lumpur yang sangat sibuk dengan masa lebih diperuntukkan di pejabat dan kesesakan trafik, maka Rozana dan suaminya, Rifki (bukan nama sebenar), 34, telah mengambil seorang pembantu rumah."Kami mengambil pembantu ini menerusi kawan yang mempunyai sebuah agensi pembantu rumah kecil-kecilan. Melalui kawan tersebut urusannya lebih mudah dan murah. Hanya dengan RM6,000 kami telah berjaya mendapatkan seorang pembantu yang sangat menepati kriteria yang kami mahu iaitu berusia lingkungan 30-an, masih belum berkahwin dan sihat.
"Pembantu kami ini dikenali dengan nama Indah dan pada hari pertama bekerja ternyata dia memang dilihat seorang yang rajin," ujar Rozana membuka bicara.
Ketiga-tiga anak perempuan Rozana juga mula serasi dengan Indah, yang juga berdisiplin dan mempunyai jadual kerjanya sendiri.
Menurut cerita Indah, dia pernah berkhidmat di sebuah rumah milik orang kaya berbangsa Cina dan dari situ dia belajar tentang rutin cara hidup masyarakat di Malaysia.
"Saya berasa amat beruntung kerana memiliki pembantu yang terlatih, walaupun saya ambil dari ejen yang bukanlah begitu besar tapi kualitinya seakan sama. Sudahlah rajin, pandai masak pula, setiap hari ada saja masakan baru dan kami sekeluarga memang menikmati masakan yang dimasak Indah.
"Pernah satu hari suami berkata, untungnya hari-hari macam ini, sedapnya umpama makan di gerai tomyam. Walaupun dalam hati saya rasa sedikit cemburu tapi saya tidak ambil pusing sebaliknya bertindak profesional memadamkan rasa gusar yang mula terbit di hati," ujar Rozana yang bertugas sebagai pegawai kewangan di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.
Namun, jauh di sudut hati wanita itu begitu yakin suaminya tidak akan jatuh cinta atau tunduk kepada kemahuan pembantu rumah, mungkin kerana faktor paras rupa yang jauh berbeza antara dirinya dan Indah.
Ini juga membuatkan Rozana begitu yakin apa yang dikhuatiri kebanyakan wanita yang mempunyai pembantu rumah tidak mungkin berlaku padanya.
Selepas hampir setahun Indah berkhidmat dengan pasangan Rozana dan Rifki, wanita berasal dari negara seberang itu meminta cuti untuk pulang sementara ke kampungnya.
Disebabkan prestasi kerjanya yang boleh dikatakan cemerlang, Rozana mengizinkan, walaupun mengikut kontrak Indah hanya boleh pulang selepas dua tahun bekerja.
"Saya tidak mahu terlalu berkira, tiketnya saya belikan dan dia berjanji akan pulang selepas seminggu. Alhamdulillah, walau ada banyak kes pembantu rumah yang saya dengar tidak pulang semula ke Malaysia selepas balik bercuti di negara asal, Indah tidaklah begitu. Dia mengotakan janji, malah anak-anak saya juga sudah mula merindui dan menanti kepulangannya," kata ibu kepada tiga anak berusia lima hingga dua tahun itu.
Namun, kepulangan Indah kali ini sungguh berbeza, dia nampak seperti agak malas, bangun tidur mula lambat dan adakalanya tidak masak.
Beberapa kali juga Rozana melihat Indah berlari masuk ke bilik air kerana muntah.
"Saya terfikir, sakitkah dia, atau mengandungkah dia? Untuk kepastian saya bawa Indah ke klinik dan sah Indah sudah mengandung empat minggu. Persoalan yang menerjah ke fikiran saya ialah bagaimana boleh mengandung, sedangkan katanya dia belum berkahwin dan dia baru seminggu pulang ke kampungnya.
"Bermacam-macam persoalan mula bermain di fikiran saya. Paling saya takuti Indah mungkin mempunyai hubungan dengan suami kerana sepanjang pengetahuan saya wanita itu tidak pernah keluar rumah.
"Namun, bukan mudah saya mengatur strategi untuk membongkar perkara ini dan saya rasa kasihan kepada bayi dalam kandungan Indah," cerita Rozana lagi.
Sekembalinya mereka ke rumah, dia mengajukan soalan bertubi-tubi kepada Indah kerana mahu tahu bagaimana wanita tersebut boleh mengandung.
Persoalan itu akhirnya dirungkai Indah yang mengakui ada teman lelaki yang bertandang ke rumahnya sewaktu Rozana dan Rifki pergi bekerja.
"Indah mengakui teman lelakinya yang juga berbangsa Indonesia ada singgah ke rumah sewaktu anak-anak saya tidur dan ketika itulah mereka terlanjur.
"Peliknya Indah langsung tidak rasa takut atau menyesal, dia menceritakan segalanya dengan begitu selamba seperti ia bukan satu perkara besar bagi dirinya.
"Indah malah memberitahu saya yang dia bercuti balik ke Indonesia tempoh hari adalah untuk menggugurkan kandungannya tapi tidak berjaya.
"Walau saya masih terkejut tapi saya cuba memikirkan dengan rasional tentang apa tindakan yang sewajarnya saya ambil selepas itu," jelas Rozana.
Beberapa lama kemudian perubahan sikap pada Indah makin jelas ketara, dia semakin malas, tidak menjalankan tugasnya dan lebih banyak melepak di atas sofa.
"Saya beritahu padanya yang jika dia meneruskan sikap seperti itu saya tidak akan teragak-agak memberhentikannya.
"Indah juga semakin kurang ajar dan berani melawan saya, mula-mula dia hanya membuat reaksi muka, lama-kelamaan dia sudah mula menjawab apa yang saya katakan padanya.
"Mahu tak mahu saya pula terpaksa mengambil alih tugasnya melakukan segala kerja rumah. Bekalan stok makanan juga sering habis dan Indah tidak lagi masak yang sedap-sedap untuk keluarga saya," katanya.
Dengan sikap Indah yang semakin culas, Rozana menghubungi rakannya yang dulu bertindak sebagai ejen dan mahu menghantar Indah kembali kepada ejennya.
"Akhirnya Indah balik kepada agensinya semula. Saya ingatkan tekanan yang kami lalui berakhir di situ, rupanya tidak. Indah membuat cerita kepada rakan saya bahawa suami saya yang telah menyebabkan dia mengandung.
"Saya hanya mampu bersabar dengan tohmahan yang ditujukan kepada suami. Suami pula menjadi semakin serik dengan pembantu rumah," katanya.
Biarpun sudah memulangkan Indah kepada agensinya, hati Rozana belum rasa lega sebaliknya diburu rasa curiga dan berdebar-debar.
Ternyata perasaan itu tidak silap kerana ketika Rozana memeriksa tempat simpanan barang kemasnya dan mendapati memang ada beberapa utas rantai, gelang dan cincinnya yang hilang.
"Tersentap sungguh hati saya, ternyata memang sukar membaca hati budi orang lain. Mereka ini boleh dianugerahkan pelakon terbaik kerana pandai berlakon menjadi pembantu yang sangat baik hingga berjaya meraih keyakinan majikan, padahal apa yang berlaku sangat menjelekkan.
"Walau peristiwa ini sudah tiga tahun berlalu, kesannya masih dirasakan hingga ke hari ini. Kesannya melibatkan fizikal dan emosi kami sekeluarga, sehingga menyebabkan kami suami isteri berjanji tidak akan mengambil pembantu lagi.
"Sebenarnya baru-baru ini kami menerima panggilan dari Indah yang mahukan suami menanggung anaknya yang sudah berusia tiga tahun. Bayangkan betapa berkecamuknya fikiran saya, sedikit sebanyak termakan juga kata hati yang mengesyaki suami sendiri walaupun percaya pembantu rumah itu memang tidak boleh langsung dipercayai.
"Walau hubungan saya dan suami baik, tapi saya tidak mampu menidakkan rasa gusar. Setiap hari saya bermohon kepada Allah agar berikan saya petunjuk, moga kesudahan kisah ini tidaklah seburuk yang saya sangka," luah Rozana penuh emosi.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date