KUALA LUMPUR: Kenaikan caj langganan yang dikenakan stesen televisyen berbayar Astro berlaku berikutan kos kandungan global yang meningkat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata, kenaikan caj langganan yang diumumkan Astro pada November tahun lalu adalah berpatutan kerana ia hanya membabitkan pakej saluran tertentu saja."Setakat ini kenaikan sebanyak RM2 bagi pakej keluarga dan RM6 bagi pakej sukan yang kita kira masih lagi satu jumlah yang munasabah kerana kita tahu kos kandungan sukan adalah sesuatu kos yang sangat tinggi.
"Persaingan untuk memperoleh hak eksklusif dan permintaan tinggi terhadap rancangan sukan misalnya Liga Perdana Inggeris dari negara Asia khususnya Malaysia, Thailand, Hong Kong dan Singapura menyumbang kepada peningkatan kos itu," katanya menjawab soalan Datuk Mohd Johari Baharom (BN-Kubang Pasu) dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Berhubung isu caj tersembunyi, Ahmad Shabery berkata pada masa ini, selain daripada langganan bulanan, caj RM20 dikenakan bagi pemasangan dan penyambungan semula perkhidmatan.
Ahmad Shabery berkata, caj pembayaran lewat yang pernah dikenakan stesen itu sebelum ini dimansuhkan hasil rundingan antara kerajaan dan Astro.
Menjawab soalan Mohd Johari berhubung hak eksklusif siaran langsung sukan yang sering diberi kepada Astro, beliau berkata, penawaran kandungan sukan lazimnya dilakukan melalui proses bidaan di mana pembekal akan menetapkan terma seperti liputan dan bilangan penonton.
"Bidaan adalah proses komersial yang telus dan semua penyiar berpeluang membuat bidaan. Di Malaysia, Astro sering berjaya mendapat hak siaran kandungan sukan kerana sentiasa memberi bidaan tertinggi dan berupaya memenuhi terma ditetapkan," katanya. - BERNAMA