Kamalru Azman Daud ditawar kerja di PPIM

Kamalru Azman Daud ditawar kerja di PPIM

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)



“Pintu kami sentiasa terbuka untuk Kamalru Azman Daud. Saya percaya setiap insan termasuk golongan orang kelainan upaya (OKU) mempunyai keistimewaan yang dapat digunakan bagi membantu masyarakat.

“Sila hadir ke pejabat dan kami akan mengambilnya bekerja serta-merta,” kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan ketika diminta mengulas laporan mengenai Kamalru, 26, OKU yang masih gagal mendapat pekerjaan meskipun memiliki ijazah kelas pertama dalam bidang Teknologi Sains Perubatan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam. 

Menurutnya, pelajar cemerlang itu dapat memanfaatkan pengetahuannya membantu PPIM mengumpul maklumat berhubung dengan penggunaan herba tempatan dalam bidang perubatan tradisional. 

Pada masa sama, katanya, lelaki itu dapat membantu PPIM menyelesaikan masalah pengguna sekali gus memberikan pelajar cemerlang itu pengalaman kerja yang jarang diperoleh di tempat lain.

“Sebelum ini pun, PPIM bukan saja membantu menyelesaikan masalah pengguna, malah ada antara pengadu yang diambil bekerja dengan persatuan. “Secara peribadi, saya melihat pekerja dalam kalangan OKU memiliki lebih banyak keistimewaan. Mereka sebenarnya tidak banyak ragam,” katanya kepada Harian Metro, semalam. 

Nadzim berkata, pihaknya bersedia membantu Kamalru mendapatkan pekerjaan sesuai dengan mengadakan pertemuan dengan agensi berkaitan dalam sektor kerajaan dan swasta. 

“Saya sentiasa mengalu-alukan kedatangan Kamalru untuk bekerja dengan PPIM. Kami berfikiran terbuka sekiranya dia mahu meninggalkan PPIM selepas mendapat tawaran kerja lebih menarik,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau meminta masyarakat lebih bersikap terbuka terhadap OKU khususnya bagi memastikan golongan berkenaan mendapat peluang sama rata dalam pasaran tenaga kerja di negara ini. 

“Jangan kita hanya pentingkan pencapaian sendiri saja, sebaliknya fikirkan sumbangan kita terhadap masyarakat. Jangan kita fikir keuntungan saja tanpa memikirkan golongan seperti Kamalru yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya. 

Kamalru yang cacat tangan kiri dan kudung kaki kiri masih gagal mendapat kerja meskipun mendapat purata nilai gred (GPA) 4 untuk semester akhir iaitu praktikal dan tesis sekali gus menamatkan pengajian tahun lalu dengan purata nilai gred terkumpul (CGPA) 3.57. 

Sepanjang tempoh pengajian, anak kelahiran Kelantan itu juga pernah menerima tiga Anugerah Dekan berikutan kecemerlangan akademik walaupun terpaksa berulang-alik ke kuliah menggunakan kaki palsu.

Lelaki yang mempunyai 11 adik-beradik itu berkata, dia amat memerlukan pekerjaan untuk membantu keluarga memandangkan ibunya yang berusia 62 hanya bekerja sebagai tukang urut dan bidan selepas bapanya meninggal dunia pada 1999. 

Kamalru berkata, dia sudah menghadiri hampir 10 temu duga sejak menamatkan pengajian peringkat ijazah. Sebelum ini, dia juga pernah menghadiri 15 kali temu duga selepas menamatkan pengajian dalam bidang Mikro Biologi Sains Gunaan di UiTM Puncak Alam.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.