1. Selangor
Antara cerita yang mengaitkan nama Selangor adalah daripada sejenis
serangga yang digelar ‘langau’. Seorang pahlawan yang sedang dalam
perjalanan ke utara telah tewas oleh seekor langau yang menganggunya
ketika berehat di tebing sungai. Akhirnya pahlawan tersebut telah
meneroka kawasan tersebut dan dijadikan penempatan yang diberi nama
Se-Langau dan akhirnya menjadi Selangor.
Kononnya juga nama Selangor berasal dari pokok Mentangau yang banyak
terdapat di kawasan pinggir sungai. Pohonnya besar dan rimbun dan boleh
dilihat dari laut. Ada diantara pedagang mengatakan ‘aku singgah di
Kuala Sungai Mentangau’ seterusnya berkembang kepada Kuala Selangau dan
akhirnya menjadi Kuala Selangor.
Pendapat lain ada menyatakan Selangor berasal dari perkataan ‘salang’
dan ‘jemur’. Dikatakan Kuala Selangor menjadi tempat penyiksaan para
penderhaka dengan cara disalang dan dijemur sehingga mati. Dua perkataan
salang dan jemur dicantumkan menjadi ‘selangur’.
Maklumat ini telah di ambil dari laman web Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT)
2. Johor
Nama silam Johor adalah “Ujung Tanah”, sementara R.O Winstead dalam
penulisannya pernah merujuk negeri Johor dengan nama “Wurawari”, ianya
adalah istilah jawa yang bermaksud “Air Jernih”.
Antara nama lama yang merujuk kepada negeri johor ialah, “Hujung
Medini”(disebut dalam syair jawa Nagara kretagama), Ganggayu (nama Johor
sebelum 1450) dan Langyu. Namun nama negeri lebih kuat dipercayai
berasal dari perkataan arab iaitu “Jauhar” yang membawa maksud
“Permata”.
3. Kedah
Kedah mengikut catatan ramai sejarawan adalah negeri tertua di Tanah
Melayu, ianya berdasarkan penemuan arkeologi tentang kewujudan
penempatan serta aktiviti masyarakat Melayu Proto. Nama kedah mengikut
rujukan catatan arab dan parsi ialah “Kilah”, “Kalah” atau “Qalha”.
Dalam tulisan sanskrit Kedah dicatatkan sebagai “Kataha” atau “Kadara”,
sementara dalam naskah tamil ianya dikenali sebagai “Kadaram” atau
“Kalaram”.
Tetapi menurut Wilkinson, nama negeri ini berasal dari perkataan
“Kheddah” yang membawa erti perangkap Gajah, tetapi ada juga yang
mengatakan Kedah adalah bermaksud “Gelas berkaki” dalam bahasa arab,
ianya bersempena dengan perniagaan pedagang arab yang menjual gelas
berkaki pada masa itu.
4. Kelantan
Mula muncul dalam catatan Ptolemy yang merujuk negeri ini sebagai
Kalantan. Dikisahkan nama Kelantan diperkenalkan oleh orang India Utara,
ianya berasal dari Bandar Koli, tempat kelahiran bonda kepada Gautama
Buddha, nama Koli kemudian digabungkan dengan perkataan “Thana” yang
bermaksuh Tanah, lalu jadilah “Kolithana” yang kemudiannya disebut oleh
penduduk pada ketika itu sebagai “Kolamtanah” atau “Kolamtam” yang
akhirnya menjadi Kelantan.
Catatan dalam ensiklopedia Ma Tuan-Lin ada menyebut tempat ini
sebagai “Ko-lo”. Dalam catatan China yang selainnya ada dikesan nama
sepertu “Ho-lan-tan” atau “Kou-lo-tan”.
Sementara dalam peta De’eredia, wujud nama “Calantan Rio”, sementara
peta selainnya disebut “Calantan”, “Calantam” dan “Calantao”. Terdapat
juga kisah bahawa nama Kelantan itu adalah bersempena dengan nama pokok
“Gelam Hutan” yang tumbuh di pesisir pantai negeri Kelantan pada ketika
itu.
5. Melaka
Selain dari kisah Parameswara yang menyaksikan seekor pelanduk
menendang anjing hingga jatuh ke sungai dan Pokok Melaka tempat beliau
bersandar ketika itu, terdapat teori lain bagaimana Melaka mendapat
namanya.
Dalam naskah lama “Sejarah Melayu” memang sudah disebut nama Melaka,
ia mugkin dari istilah “Malakat” atau “Mulagah” yang digunakan oleh
pedagang arab yang membawa maksud “pusat / tempat perdagangan “. Dalam
bahasa sanskrit, Melaka mungkin dirujuk sebagai “Malayakolam” atau
“Malayaka” yang membawa erti “negeri orang melayu”.
6. Negeri Sembilan
Nama negeri ini bersempena 9 negeri yang berada dibawah gabungannya, kawasan berkenaan ialah ;
1) Sungai Ujong
2) Naning
3) Rembau
4) Jelebu
5) Johol
6) Klang
7) Jelai
8) Ulu Pahang
9) Segamat
Negeri Sembilan kemudiannya menyerahkan Klang kepada Selangor, Ulu
Pahang dan Jelai kepada Pahang dan Segamat kepada Johor. Rombakan
kawasan kemudianya menyenaraikan 9 kawasan berikut sebagai negeri yang
sembilan, iaitu:
1) Sungai Ujong
2) Rembau
3) Jelebu
4) Johol
5) Ulu Muar
6) Inas
7) Gunung Pasir
8) Terachi
9) Jempol
7. Pahang
Nama klasik bagi negeri ini ialah
Inderapura, nama Pahang telah ada sebelum adanya negeri Melaka, ianya
dikenali sebagai Pahang Tua. Tiada kisah yang jelas bagaimana Pahang
mendapat namanya, namun dalam bahasa Khmer, Pahang itu bermaksud “timah”
yang mungkin juga ada kena mengena dengan Sungai Lembing yang terkenal
dengan timah.
8. Perak
Sepertimana Pahang, Perak juga mempunyai nama klasiknya yang
tersendiri, iaitu Gangga Negara, pusat pemerintahan Gangga Negara ialah
di Beruas. Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, nama Perak diberi
bersempena dengan anak panah bermata perak yang dilepaskan oleh anak
Raja Merong Mahapodisat Kedah. Anak panah itu dilepaskan ke kawasan yang
dihajati beliau untuk dijadikan sebuah negeri.
9. Perlis
Perlis dahulunya dikenali sebagai “kayang” atau “kayangan”, dan nama
Perlis diberi bersempena dengan nama seorang tua yang dianggap mempunyai
keramat, iaitu “Tok Perlis”. Ada juga versi lain bagaimana Perlis
mendapat nama,berkemungkinan ianya berasal dari perkataan siam “Phrau
Loi” yang bermaksud kelapa hanyut, kelapa hanyut ini dikatakan banyak
dijumpai oleh orang-orang siam yang menggunakan laluan kuala sungai
Perlis untuk ke Kedah. Sebutan “Phrau Loi” ini bila disebut oleh
masyarakat tempatan akhirnya menjadi “Perleh”.
10. Pulau Pinang
Ianya berasal dari barisan pokok-pokok pinang di kawasan penempatan
masyarakat asal melayu di kawasan pantai. Pulau Pinang pernah diberi
nama “Prince of Wales” oleh Francis Light pada 11 Ogos 1786, tetapi
mujur juga nama itu tidak lekat dan hanya wujud dalam catatan serta peta
inggeris, tetapi tidak di bibir penduduk tempatan.
11. Terengganu
Dipercayai berasal dari cahaya kilat yang dilihat oleh penduduk
Kelantan, lalu mereka berkata “terangnya genu” atau maksud lainnya
“terang sampai ke sana”.
Terdapat juga kisah yang mengatakan nama Terengganu berasal dari
kisah penemuan taring gajah di sebatang sungai di Pulau Duyong, dek
kerana saiz taring yang besar serta belum pernah dilihat oleh penduduk
tempatan, mereka merujuk taring itu sebagai “Taring anu”, sungai dimana
taring tersebut dijumpai juga dikenali sebagai “Sungai Taring Anu”.
12. Sabah
Pernah dikenali dengan nama “Api-api”, Sabah mendapat namanya
daripada perkataan “Saba”, iaitu sejenis pisang. Kebanyakkan penduduk
asal menanam pisang ini di penempatan mereka di sekitar pantai untuk
dijadikan sumber makanan.
13. Sarawak
Tiada kisah yang cukup popular untuk dijadikan sandaran bagaimana
Sarawak mendapat nama, mungkin juga bersempena dengan nama Sungai
Sarawak.
Terdapat sumber dikalangan penduduk tempatan yang mengkisahkan nama
Sarawak berasal dari ungkapan ” serah pada awak”, iaitu apabila Pengiran
Muda Hashim menyerahkan pentadbiran negeri itu kepada James Brooke pada
tahun 1841.
14. Kuala Lumpur
Kuala Lumpur dibina pada tahun 1857 di kuala sungai Gombak dan Klang.
Dalam Bahasa Melayu, maksud namanya adalah “kuala berlumpur.”
Pendudukannya bermula apabila seorang ahli keluarga kerajaan Selangor,
Raja Abdullah, membuka Lembah Klang untuk pelombongan biji timah. 87
pencari gali Cina telah pergi ke sungai Klang dan memulakan prospek di
daerah Ampang, yang pada masa itu kawasan hutan belantara.
Walaupun 69 orang dari mereka meninggal dunia kerana keadaan penyakit
wabak, pelombongan biji timah yang berkembang telah ditubuhkan. Ini
menarik perhatian banyak pedagang yang berdagang keperluan asas kepada
pelombong-pelombong untuk mendapatkan sebahagian dari biji timah.
Pedagang membina kedai di kuala sungai Klang dan Gombak. Oleh kerana
itu, sebuah bandar telah dilahirkan. Sejarah Kuala Lumpur juga amat
berkait rapat dengan Haji Abdullah Hukum, yang merupakan salah seorang
panglima kepada kerajaan negeri Selangor.
Sementara pekan itu membesar, Inggeris, yang menjajah Malaya pada
waktu itu, merasa mereka harus melantik (Kapitan Cina, atau Kapten
kepada orang Cina) untuk mentadbirkan kawasan itu dan memastikan ada
undang-undang dan peraturan. Kapitan Cina yang pertama itu adalah Hiu
Siew.
Kapitan Cina yang ketiga adalah Yap Ah Loy, yang melihat kebesaran
Kuala Lumpur dari pekan lombongan kecil yang sunyi hingga ia menjadi
bandar Selangor yang terutama. Pada awalnya, Kuala Lumpur adalah pusat
Perang Saudara Selangor, di mana dua persengkatan dapat ditanggapkan;
pergaduhan di antara putera-putera Selangor ke atas keuntungan lombongan
biji timah, dan suatu dendam berdarah di antara Kapitan Yap dan Chong
Chong, yang mahu menjadi Kapitan.
Kapitan Yap dan tulang belakangnya, Tengku Kudin, berjaya dan sejak
masa itu, terima kasih kepada pimpinan bagus Kapitan Yap, Kuala Lumpur
menjadi bandar yang terbesar di Selangor. Beliau membina Kuala Lumpur,
yang dihancurkan oleh Perang Saudara dan memenuhinya dengan pelombong
Cina dari tempat lain di Selangor. Beliau juga mengalakkan petani Melayu
untuk tinggal dekat Kuala Lumpur untuk memudahkan bekalan sumber
makanan.