Hishammuddin terharu balas jawapan peribadi kepada remaja Paris yang Mengaguminya


Hishammuddin terharu remaja Paris kaguminya

Beliau dalam tweetnya berkata: "Takkan lah saya (tidak menjawab surat itu), harap dapat jumpanya satu hari nanti."



Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, menerima surat daripada Lopez pada 14 Mac yang menyatakan kekagumannya terhadap personaliti dan tindakan Hishammuddin dalam meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH307.

Lopez di dalam suratnya bertarikh 8 Mac, juga meminta agar Hishammuddin menurunkan tandatangannya pada kad kecil yang disertakan bersama-sama surat itu sebagai kenang-kenangan.

Surat itu berbunyi: "Ke hadapan Encik Hishammuddin Hussein, saya berumur 15 tahun dan saya amat mengagumi Malaysia. Saya menulis surat kepada anda untuk menzahirkan kekaguman saya terhadap personaliti anda dan tindakan anda.

"Saya pasti berasa amat gembira sekiranya anda sudi menurunkan tandatangan anda pada kad kecil yang saya hantar kepada anda. Saya ucapkan terima kasih, Yang ikhlas, Victor Lopez."

Hishammuddin semalam membalas surat itu dan menyatakan bahawa ingatan dan kata-kata semangat daripada individu seperti Lopez memberikannya kekuatan untuk meneruskan operasi mencari pesawat yang hilang itu.

"Ke hadapan Victor, saya harap ini akan sampai kepada anda dengan selamat. Terima kasih kerana menulis kepada saya dari Paris. Ingatan dan kata-kata semangat daripada individu seperti anda memberikan kekuatan kepada saya untuk terus menerajui usaha mencari MH370.

"Terima kasih sekali lagi kepada anda dan diharapkan anda dapat melawat Malaysia 'Truly Asia' sekiranya ada peluang. Belajar rajin-rajin!," demikian isi kandungan surat itu.

Tidak cukup dengan kata-kata yang bertaip rapi di dalam surat rasmi itu, Hishammuddin turut menitipkan kata-kata dengan tulisan tangannya iaitu: "Surat anda benar-benar menyentuh hati saya. Akan paparkan dalam Twitter, @HishammuddinH20." - Bernama

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.