Header Ads

Up2date Terkini!
recent

Masjid Kristal tarikan pelancong


Your Ad Here


DUA pelancong tempatan berjalan ke arah Masjid Kristal untuk melihat 21 monumen seni bina tamadun Islam yang terdapat di situ.




Peratusan penginapan hotel di Terengganu dijangka meningkat 72 hingga 75 peratus tahun ini, berbanding 68 peratus tahun lalu.

'PAKAT mari ramai-ramai" (datanglah beramai-ramai), kata Mohd Fairus Lizam Mohd Zaid, mengajak pengunjung menghayati keunikan Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di Kuala Terengganu.

Akui pemuda berusia 29 tahun itu, beliau sendiri mulanya keberatan untuk berkunjung kerana kesibukan kerja, tetapi akhirnya memaksa diri untuk ke sana selepas beberapa kali dipujuk isteri.

Ternyata, katanya, ia menjadi satu pengalaman yang menakjubkan dan membuka minda terhadap ketamadunan Islam.

"Taman Tamadun Islam merupakan tempat yang menarik untuk dilawati kerana banyak monumen sejarah dunia Islam terdapat di sini. Lagipun, kalau kita nak pergi sendiri melawat tempat-tempat asalnya, kita tidak mampu," katanya.

Taman itu terletak di sebuah pulau kecil di Sungai Terengganu berhampiran Kampung Losong yang terkenal dengan industri keropok lekor.

Ia menempatkan 21 monumen seni bina tamadun Islam seperti Kubah As Sakhra di Palestin, Masjidil Haram (Arab Saudi), Masjid Al-Hambra Citadel (Sepanyol), Taj Mahal (India), Menara Kalyan (Uzbekistan), Masjid Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Mesir), Masjid Qairawan (Tunisia), Masjid Allepo Citadel (Syria) dan Masjid Kul Syarif (Rusia).

Selain itu, taman berkenaan turut menempatkan pusat konvensyen serta Masjid Kristal.

Bagi Mohd Fairus Lizam, TTI bukan sekadar tempat riadah bagi keluarga malah, berfaedah kepada generasi muda terutama untuk mereka yang mahu mengetahui keagungan tamadun Islam.

Beliau yang berasal dari Ajil, Terengganu, berkata, jika dianjurkan program menarik sepanjang tahun, tidak mustahil TTI dapat mengerakkan industri pelancongan Terengganu sekali gus mencambahkan industri lain untuk manfaat penduduk setempat.

Pandangan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu diakui Setiausaha Kehormat Persatuan Hotel Malaysia Terengganu, Shahrir Naelis Amir yang menjangkakan sektor perhotelan khususnya di bandar raya Kuala Terengganu akan mengalami pertumbuhan lebih pesat pada tahun ini.

Beliau berkata, pertumbuhan itu didorong oleh penambahan produk pelancongan yang mampu dipakejkan oleh pengusaha hotel di negeri itu.

Sebagai contoh, beliau yang juga Pengurus Felda Residence berkata, pihaknya akan mengeluarkan pakej Kebudayaan Islam di Terengganu yang merangkumi kunjungan ke TTI dan Masjid Kristal, selain budaya masyarakat setempat khususnya kepada pelancong Islam Asia dan Eropah.

Menurutnya, peratusan penginapan di hotel dijangka meningkat 72 hingga 75 peratus tahun ini, berbanding 68 peratus pada tahun lalu.

Selain itu, katanya, purata pelancong bermalam dijangka turut meningkat kepada 3.5 malam bagi pelancong domestik sementara lima malam bagi pelancong asing berbanding 3.1 (domestik) dan 4.6 (asing) pada tahun 2008.

Pengarah Pelancongan Terengganu, Suhaimi Abu Hassan Shari, pula berkata, TTI seluas 23 hektar itu telah menarik 1.6 juta pengunjung sejak ia dibuka pada Februari tahun lalu.

Beliau berkata, perkembangan itu dilihat menarik pengusaha hotel dan berdasarkan maklum balas yang diterimanya, sebanyak 11 lagi hotel termasuk yang bertaraf dua hingga tiga bintang akan beroperasi menjelang akhir tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan hotel di Terengganu ialah 241 buah.

"Daripada jumlah itu, enam hotel akan dibina di bandar raya Kuala Terengganu yang setakat ini mempunyai 52 hotel termasuk hotel bajet. Pada masa ini, terdapat 230 hotel di seluruh negeri ini dengan 7,813 bilik," katanya.

Menurutnya, pembinaan hotel-hotel berkenaan bukan hanya mampu menambah 3,379 bilik bagi penginapan pelancong malah memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Tambahnya, berdasarkan statistik, hampir 600,000 pelancong dalam dan luar negara menginap di hotel-hotel seluruh negeri itu sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu.

"Jumlah itu meningkat berbanding hampir 500,000 pelancong dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya," katanya sambil memberitahu, kunjungan ke Kuala Terengganu yang kini digelar bandar raya warisan pesisir air menjadi tidak lengkap jika tidak ke Masjid Kristal.




No comments:

Powered by Blogger.