Urutan peristiwa kes wanita S’pura ditemui mati di Sepanyol
Mayat wanita Singapura berusia 39 tahun yang hilang, Cik Audrey Fang Dirou, ditemui dengan kesan tikaman selepas tidak dapat dihubungi sejak 10 April lalu.Berikut adalah urutan peristiwa yang berlaku. Semua masa yang dilaporkan adalah waktu Sepanyol, melainkan dinyatakan sebaliknya.
4 April (waktu Singapura): Cik Fang berlepas dari Singapura ke Sepanyol. Beliau dijadualkan pulang ke Singapura pada 12 April.
9 April: Cik Fang kali terakhir dilihat menerusi kamera litar tertutup (CCTV) hotelnya di Xabia pada 8.45 malam. Barang-barangnya masih berada dalam bilik hotel.
10 April: Cik Fang sepatutnya mendaftar keluar dari biliknya. Keluarganya kali terakhir berhubung dengannya pada 10 April waktu Singapura. Secara berasingan, mayatnya ditemui di sebuah lori yang diletak di Abanilla di wilayah Murcia, menurut media Sepanyol. Mayat tidak dapat dikenal pasti pada masa itu.
11 April: Keluarga Cik Fang terus berusaha menghubunginya tetapi tidak berjaya. Mereka membuat laporan kepada Kementerian Ehwal Luar (MFA).
17 April: Didedahkan sekujur mayat tidak dikenali yang ditemui pada 10 April itu adalah Cik Fang. Pada 10.30 pagi waktu Singapura, seorang rakan keluarga, Cik Lee Si Hui, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa beliau dan keluarga berada dalam pesawat ke Sepanyol.
18 April (waktu Singapura): Rakan keluarga mengesahkan berita itu ketika dihubungi ST, tetapi berkata keluarga itu tidak dapat berkongsi banyak maklumat kerana mereka sedang membantu siasatan polis.
Kematian warga S’pura di Sepanyol: Suspek dikenal pasti sebagai Mitchell Ong
SINGAPURA: Wanita Singapura yang dibunuh di Sepanyol, Audrey Fang, lebih dua minggu lalu dilaporkan membeli polisi insurans daripada suspek pembunuhnya pada 2015.Perkara itu didedahkan keluarganya semalam. Mereka sedang memeriksa barang-barangnya apabila mereka terjumpa dua polisi berkaitan insurans daripada syarikat insurans, AIA, kata sepupunya yang hanya mahu dikenali sebagai See. Polisi itu dijual oleh seorang lelaki yang ditampil di mahkamah berkaitan kematian arkitek warga Singapura, Cik Audrey Fang Dirou, di Sepanyol telah dikenal pasti sebagai Mitchell Ong. Suspek berusia 43 tahun itu dilaporkan mengenali Cik Fang, yang pernah memaklumkan seorang mantan rakan kerja mengenai Ong beberapa tahun lalu, lapor media Sepanyol, La Verdad pada 20 April.
Cik Fang, 39 tahun, dilaporkan hilang semasa bercuti di Xabia, di tenggara Sepanyol.
Mayatnya ditemui pada 10 April, di sebuah lori yang diletakkan di Abanilla di wilayah Murcia, kira-kira 150 kilometer dari hotelnya di Xabia, di mana beliau dikatakan kali terakhir dilihat masih hidup, menurut Olive Press. Cik Fang dilaporkan ditikam lebih daripada 30 kali.
Abanilla terletak di tenggara Sepanyol dan kira-kira empat jam memandu dari ibu kota Madrid.
Media Sepanyol melaporkan bahawa dia tinggal di sebuah hotel di Alicante, di mana dia ditangkap.
Menurut laporan media, Ong disifatkan sebagai seorang yang berbadan sasa, dan meminati pakaian mahal.
Dia dilaporkan sering menginap di hotel mewah dan menyewa kereta mewah.
Jurucakap Pengawal Awam sebelum ini memberitahu The Straits Times bahawa suspek mungkin mempunyai hubungan romantis dengan Cik Fang.
“Kami masih menyiasat motif pembunuhan ini. Terdapat pelbagai kemungkinan motif, yang boleh bersifat ekonomi atau kes keganasan domestik,” kata jurucakap itu.
Pihak berkuasa Sepanyol temui nota penamaan calon CPF pada iPad wanita SG yang dibunuh di Sepanyol
Polis Sepanyol yang sedang menyiasat kes pembunuhan wanita Singapura di sana, dilaporkan sedang menyelidik satu nota penamaan calon Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang ditemui dalam iPad mangsa.Menurut laporan oleh akhbar Sepanyol, La Verdad, pada Isnin (29 Apr), tertulis dalam nota itu bahawa Cik Audrey Fang sudah memutuskan untuk mencalonkan seorang individu yang tidak dikenali bagi simpanan CPF beliau kerana individu tersebut adalah "rakan lama yang boleh dipercayai".
Akhbar itu turut melaporkan bahawa pinjaman AS$50,000 (S$68,000) turut diberikan buat Cik Fang atas persahabatan mereka.
CPF adalah satu skim simpanan mandatori bagi jaminan sosial yang dibiayai hasil sumbangan para majikan dan pekerja.
Sekiranya seseorang meninggal dunia, simpanannya akan diberikan kepada sesiapa yang terdahulu sudah dicalonkan.
Jika tiada pencalonan dilakukan, tabungannya akan diserahkan kepada Pejabat Pemegang Amanah Awam untuk diagihkan kepada para anggota keluarga.
Nota penamaan calon CPF bertarikh 24 Mac itu ditemui Pengawal Awam Sepanyol pada iPad Cik Fang yang ditinggalkan di dalam bilik hotelnya.
Pada keesokan harinya, mayat mangsa ditemui dengan 30 kesan tikaman, kira-kira 150km dari tempat penginapannya.
Mitchell Ong, seorang lelaki Singapura berusia 43 tahun, diberkas di Alicante pada 16 Apr berhubung kematian itu. Dia tampil di mahkamah pada 19 Apr dan ditahan.
KELUARGA MANGSA SEDANG PERIKSA JIKA SUSPEK PENERIMA CPF
Dilaporkan sebelum ini bahawa mungkin terdapat motif bersifat kewangan bagi pembunuhan Cik Fang, dengan media Sepanyol melaporkan bahawa mangsa memindahkan wang kepada individu ketiga yang tidak dikenali.Mereka mendapat tahu Cik Fang mempunyai dua polisi insurans pelaburan yang dijual pada 2015 oleh seorang ejen bernama Ong Cheong Yi, yang pihak keluarga diberitahu adalah nama Cina Mitchell Ong.
Keluarganya berkata mereka merancang untuk menghubungi pihak berkuasa untuk menentukan jika Ong dinamakan sebagai penerima bagi wang CPF ataupun polisi-polisi insurans Cik Fang.
Mereka juga akan cuba mengesahkan sama ada wang dipindahkan keluar daripada akaun banknya.
Menurut laporan La Verdad, keluarga mangsa turut mempersoalkan kesahihan nota yang ditemui pada iPad mangsa, memandangkan jumlah pinjaman yang tertulis adalah dalam mata wang dolar Amerika, dan bukan dolar Singapura.
SOURCE: berita.mediacorp.sg
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date