Anwar Ibrahim cabar PM Ambil Tindakan Jika Dakwa Ada Pendakwaan Terpilih Dahulu
Pendakwaan terpilih di bawah PH? Buka semula kes sebegini, kata Anwar kepada PM
Anwar Ibrahim berkata jika Ismail Sabri Yaakob membayangkan bahawa kerajaan PH mengamalkan pendakwaan terpilih, Jabatan Peguam Negara boleh membuka semula kes sedemikian.
KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mengesyorkan kerajaan membuka semula fail siasatan terhadap sebarang kes dianggap sebagai 'pendakwaan terpilih' yang didakwa berlaku semasa Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan.
Anwar menegaskan andainya berlaku 'pendakwaan terpilih' dalam PH, tiada halangan untuk Peguam Negara untuk membuka semula fail kes berkenaan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, terdapat juga pihak membangkitkan dakwaan mengenai seorang pemilik konglomerat besar yang dilindungi (ketika pentadbiran PH) kerana anaknya terlibat dengan kes jenayah dadah.
"Jangan bagi alasan, sindiran seolah-olah ada (pendakwaan terpilih). Jika ada, silakan (siasat dan dakwa). Saya tidak (berada) di sini untuk mempertahankan konglomerat kaya yang rasuah.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada mesyuarat khas penggal keempat Parlimen ke-14 di Kuala Lumpur 20 Januari 2022. ― Gambar Bernama
"Saya syorkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) supaya memastikan Peguam Negara sama ada yang sekarang atau yang dulu untuk buka semula fail. Tiada had tempoh untuk kes jenayah,” katanya ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Parlimen di sini.
Presiden PKR itu secara peribadi juga menyokong langkah itu sebagai peringatan kepada semua pihak khususnya individu yang dilihat kononnya lantang mengkritik isu rasuah.
"Bagi saya ada baiknya (buka semula siasatan)...supaya bagi orang-orang yang berdegar-degar cakap soal rasuah, tahu hadnya bila dia sendiri atau keluarganya terpalit dengan jenayah atau rasuah,” katanya.
Semalam, Ismail Sabri ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat menegaskan kerajaan tidak akan sesekali melindungi mana-mana individu yang berdepan kes rasuah yang sedang dibicara di mahkamah atau membuat pendakwaan terpilih kepada individu tertentu.
Anwar Ibrahim - Foto Bernama
Dalam pada itu, Anwar berkata, 'penyakit' rasuah di dalam negara ini yang turut melibatkan pelbagai agensi perlu dibanteras untuk mengelakkan kehancuran negara dan semua pihak perlu ada semangat serta azam baharu untuk membanteras rasuah.
"Perlu ada ketegasan dan penerangan kepada rakyat (mengenai kes rasuah yang berlaku). Kalau ada polemik dalam kalangan elit politik cuba memadamkan (menafikan kesalahan) dan membesarkan atau mendewakan individu yang terpalit dengan rasuah besar adalah mengaibkan serta menjatuhkan maruah rakyat negara ini,” katanya. - Bernama
SOURCE: SH
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date