Ramai mati sebab paru-paru ‘mengeras’

http://beritaup2date.blogspot.com/ Keadaan paru-paru seorang pesakit Covid-19 yang rosak dan lebih keras berbanding paru-paru sihat yang akan kelihatan berwarna merah. Gambar kecil: Dr Eng Kar Seng
klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)

Jangkitan kuman dan radang paru-paru adalah punca utama ramai yang mati akibat Covid-19.

Bulan Ogos 2021 merupakan bulan terburuk bagi Malaysia sejak wabak Covid-19 melanda negara apabila purata kes harian di negara ini melebihi 20,000 kes, dengan kes harian tertinggi sebanyak 24,599 kes pada 26 Ogos lalu.


Apa yang menjadi kebimbangan rakyat adalah sementara menunggu Covid-19 menjadi endemik di negara ini, masih ramai yang terkorban termasuklah golongan muda kerana wabak pembunuh itu.

http://beritaup2date.blogspot.com/ Kebanyakan pesakit Covid-19 akan berdepan dengan masalah sistem pernafasan. – Gambar hiasan
Jumlah kematian sebenar pada hari Khamis, 16 September sahaja seramai 107 orang.

Mungkin ramai yang sudah lali dengan penyakit Covid-19, namun adakah kita mengetahui bagaimana sebenarnya Covid-19 meragut nyawa pesakit dan bagaimana ia mula merebak ke seluruh tubuh badan lantas merosakkan organ dalaman?



Organ rosak

Menjawab persoalan tersebut, Pakar Anestesiologi dan Rawatan Rapi, Hospital Sungai Buloh, Dr Eng Kar Seng berkata, sistem imun yang tidak terkawal dan kecederaan yang dialami oleh organ akibat Covid-19 boleh melumpuhkan keseluruhan sistem saluran darah di dalam badan pesakit.


“Terdapat dua faktor mengapa organ di dalam badan boleh rosak kerana Covid-19. Pertama adalah sistem imun yang tidak terkawal dan kedua adalah kecederaan yang berlaku apabila virus itu melekat kepada reseptor di organ badan yang menyebabkan kesan langsung ‘Cytotoxic’.


“Kebanyakan pesakit mengalami pneumonia atau 80 hingga 90 peratus kecederaan pada paru-paru dan 10 peratus akan memberi kesan kepada organ lain seperti otak serta jantung.

“Ini kerana virus Covid-19 menyerang saluran darah di mana ketulan darah kepada organ tersebut menyebabkan pesakit mengalami serangan jantung, strok atau buah pinggang,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Tambahnya, Covid-19 melekat di badan kita pada ‘Angiotensin-converting enzyme 2 (ACE2)’ reseptor yang kebanyakannya berada di saluran udara pesakit dan boleh dijumpai di saluran darah, jantung, hati, buah pinggang dan otak.

http://beritaup2date.blogspot.com/ Gambaran paru-paru (CT scan) ini menunjukkan pesakit wanita Covid-19 yang baru bersalin 3 minggu lalu. Pesakit ini berada di ICU selama satu bulan dan gambaran putih di bahagian paru-parunya menunjukkan radang paru-paru.
“Apabila virus ini masuk ke dalam badan, kebanyakan pesakit dalam 80 peratus akan menjadi ‘mild Covid’ dan sistem imun akan melawan dengan tindak balas yang baik.

“Namun, 20 peratus daripada mereka yang mempunyai sistem imun tidak terkawal akan mengalami radang paru-paru yang teruk dan kecederaan organ-organ yang lain.

“Ini juga akan menyebabkan gangguan kepada sistem pembekuan darah pesakit dan mengakibatkan kekurangan darah kepada organ-organ tersebut. Terdapat beberapa senario kronik yang menyebabkan pesakit lumpuh setengah otak dan serangan jantung akibat saluran darah tersumbat,” katanya.

Radang paru-paru

Kar Seng yang juga pegawai kesihatan di wad ICU Hospital Sungai Buloh sejak wabak itu melanda negara berkata, jangkitan dan radang paru-paru adalah punca utama ramai yang mati akibat Covid-19.

“Kebanyakan pesakit Covid-19 mengalami radang paru-paru dan apabila radang ini menular, paru-paru akan menjadi ‘fibrosis’ dan lebih keras. Kebanyakan pesakit yang menggunakan mesin bantuan pernafasan lebih dari seminggu, mereka mudah untuk mendapat jangkitan berikutnya (secondary infection) daripada bakteria lain.

http://beritaup2date.blogspot.com/ Kar Seng menunjukkan gambar X-ray keadaan paru-paru seorang pesakit Covid-19 berumur 25 tahun.
“Oleh kerana tiub saluran udara diletakkan pada saluran pernafasan pesakit, sistem pertahanan dalam badan mereka akan dilemahkan di mana pesakit tidak dapat batuk dan memerlukan sedutan kahak setiap tiga jam,” katanya.

Jangan putus asa bila ditidurkan

Kar Seng berpandangan bahawa masyarakat tidak perlu putus harapan atau terlalu bimbang akan proses ‘menidurkan’ pesakit kerana kadar dan peluang untuk hidup adalah sebanyak 70 peratus.

“Semasa pesakit ‘ditidurkan’, kadar kematian mereka adalah dalam 15 ke 30 peratus. Proses ‘intubation’ dilakukan apabila pesakit Covid-19 itu mengalami radang paru-paru yang teruk dan pesakit tidak boleh menampung pernafasan sendiri kerana mengalami oksigen yang rendah.

“Apabila radang mereka semakin pulih dan boleh bernafas sendiri, kita akan mencabut tiub pernafasan mereka. Jadi tidak bermakna pesakit yang ditidurkan itu tidak akan bangun kembali. Ia bergantung kepada keadaan pesakit ketika itu dan servis kesihatan yang optimum,” katanya.


Jelas beliau, apa yang paling penting adalah masyarakat perlu peka bila masa yang sesuai untuk datang ke hospital dan tidak melambatkan rawatan untuk mengurangkan kadar kematian.

“Apa yang berlaku pada kebanyakan orang adalah apabila mereka tidak sihat dan mengalami simptom seperti batuk dan sukar bernafas, mereka masih berada di rumah. Ini akan mengeruhkan keadaan apabila mereka memerlukan rawatan cepat setibanya di hospital kerana Covid-19 sudah membunuh sistem imun yang tidak terkawal,” katanya.

INFO

Jumlah kematian sebenar (seminggu)

16 Sept - 107 orang

15 Sept - 133 orang

14 Sept - 159 orang

13 Sept - 175 orang

12 Sept - 186 orang

11 Sept - 191 orang

10 Sept - 195 orang

SOURCE: Premium Sinar Harian

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.