Gelombang keempat penularan Covid-19 di negara ini yang bermula pada Jun lepas, merupakan yang terburuk setakat ini apabila ribuan nyawa menjadi korban, dan bagi pakar patologi forensik Dr Nur Ayutimasery Abdullah, tekanan yang membebani beliau dan pasukannya begitu hebat.
Menahan air matanya yang bertakung, Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor itu membuka cerita bagaimana beliau dan pasukannya mengendalikan mayat demi mayat yang tiba tidak putus-putus di jabatannya dalam tempoh yang sangat sekejap.
“(Kami) tidak dapat tidur malam kerana terlalu resah memikirkan tentang hari esok, apa yang menunggu kami, jumlah mayat yang akan kami kendalikan serta aduan yang bakal kami terima,” katanya semasa berkongsi pengalaman beliau dengan Bernama.
Menurutnya, ada satu ketika pada Ogos lepas, tatkala jangkitan baru harian di Selangor seringkali melepasi angka 8,000, jabatannya menerima 155 mayat. Malah, ketika temu bual ini diadakan, masih ada 27 mayat warga asing yang tersimpan di dalam kontena simpanan mayat sementara hospital sejak lebih sebulan lalu, kerana menunggu kedutaan yang berkenaan memberi kebenaran untuk penyerahan bagi urusan pengebumian.
Setiap hari, selain membuat susulan dengan kedutaan, Dr Nur Ayutimasery dan stafnya juga harus berdepan dengan emosi ahli keluarga si mati yang mahu melihat mayat orang kesayangan mereka buat kali terakhir, menunggu keputusan ujian makmal bagi mengesahkan jangkitan Covid-19 serta memadankan nama si mati dengan mayat yang betul.
Bagaimanapun, kebelakangan ini tekanan yang dirasai reda sedikit berikutan kes baru harian di Lembah Klang sudah menurun kepada bawah 3,000, dan jabatan beliau menggunakan masa yang ada untuk menyelesaikan kes tertunggak.
Sekalipun beban kerja berkurangan sedikit buat Dr Nur Ayutimasery dan lain-lain petugas barisan hadapan, ramai antara mereka yang berkata tidak mampu menarik nafas lega disebabkan bimbang satu lagi gelombang akan melanda - sama ada kerana varian baru mahupun akibat pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial yang disifatkan terlalu awal.
Mereka menyifatkan situasi itu sebagai persediaan menghadapi kemungkinan terburuk. Ahli psikologi pula melihat keadaan tersebut sebagai kesan berpanjangan Covid-19 ke atas petugas kesihatan yang telah berjuang menentang penyakit baru berkenaan tanpa henti sejak Mac tahun lepas.
Pakar kesihatan mental yang menawarkan khidmat mereka di unit sokongan psikososial MERCY Malaysia di HTAR, berkata mereka mengesan tingkah laku berjaga-jaga yang keterlaluan dan kerisauan dalam kebanyakan petugas yang mereka temui. Sesetengah petugas menyatakan mereka berasa bersalah kerana tidak dapat memberikan jagaan terbaik kepada pesakit selain ada yang trauma kerana perlu menentukan hidup dan mati pesakit.
Perunding psikologi Dr Hariyati Abdul Majid yang juga penasihat Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial MERCY Malaysia tidak hairan dengan situasi itu dan berkata penurunan kes harian tidak bermakna stres petugas kesihatan juga mereda.
“Berikutan kes (di Lembah Klang) sekarang menurun, mereka sebenarnya boleh berehat dan melihat semula apa yang berlaku dalam tempoh setahun setengah yang lalu, dan apa yang mereka rasakan sekarang ialah kombinasi perasaan (dan kesedihan yang tertangguh),” katanya.
Tambah beliau, stresor yang berterusan tidak bagus untuk kesihatan emosi dan fizikal walau sesiapa juga.
Hari-hari gelap
Bermula penghujung Jun, laporan berita serta hantaran media sosial banyak berkisar tentang kisah pesakit terbaring di atas lantai sementara menunggu kekosongan katil, selain berkenaan hospital termasuk HTAR menempatkan katil di kawasan letak kenderaan bagi menampung pertambahan pesakit.Sama seperti anggota tentera yang bertukar-tukar cerita tentang pengalaman mereka di medan perang, staf HTAR juga mempunyai kisah ngeri sendiri untuk dikongsikan.
Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR Dr Ahmad Tajuddin Mohamad Nor memberitahu Bernama bahawa pada peringkat awal, jabatannya menjadi tidak terkawal hanya dalam masa yang singkat kerana tidak bersedia untuk menangani jumlah pesakit yang sebegitu besar serentak.
“Segalanya huru-hara, kami langsung tidak dapat memenuhi keperluan, dan yang kami nampak hanyalah barisan panjang pesakit Covid-19 di jabatan kami. Pada satu ketika, ada sekitar 200 pesakit yang kami hanya dapat atur berdasarkan keadaan mereka, belum lagi diberikan rawatan sempurna… cuma diproses,” katanya.
SOURCE: Malaysiakini
Kongsikan artikel ini: