KUALA LUMPUR: Polis semalam menahan seorang kerani kerana disyaki terbabit kes pecah amanah syarikat pembinaan membabitkan wang berjumlah RM4 juta.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata pihaknya menerima laporan daripada pengarah syarikat berkenaan pada November tahun lalu, mendakwa suspek wanita itu mengambil wang milik syarikat di Taman Dagang Permai, dekat Ampang.
Beliau berkata, pengadu menyedari wang syarikat dalam akaun bank semakin berkurang dan mengesyaki keraninya sebagai dalang perkara itu.
"Suspek dikatakan membuat beberapa transaksi ke dalam akaun peribadinya secara berperingkat berjumlah RM4 juta.
"Wanita berkenaan juga mempunyai akses akaun bank syarikat kerana pengadu cuti sakit sejak Januari 2018 hingga Jun 2020. Tiada individu lain mempunyai akses kepada akaun berkenaan.
"Hasil risikan, polis berjaya menangkap suspek semalam dan siasatan mendapati ada dua akaun bank wanita itu digunakan untuk tujuan pemindahan wang syarikat," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Suspek direman empat hari mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
SOURCE: BH Online!
Kongsikan artikel ini:
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.