Wanita itu mengakses telefon bimbit suaminya tanpa pengetahuannya. - Unsplash |
RAS AL KHAIMAH, EMIRIYAH ARAB BERSATU (UAE) – Seorang wanita diperintahkan mahkamah untuk membayar wang pampasan berjumlah 8,100 dirham UAE (RM9,326) kepada suaminya selepas didapati bersalah mengintip perbualan peribadi lelaki berkenaan, lapor akhbar Khaleej Times baru-baru ini.
Wanita tersebut yang merupakan seorang isteri kedua turut bersalah kerana berkongsi perbualan peribadi antara suaminya dan isteri pertamanya dengan anak perempuan lelaki itu.
Perbuatan tersebut seterusnya membawa kepada perbalahan antara suaminya dengan isteri pertamanya, sekali gus menyebabkan mereka bercerai.
Sebelum ini, Mahkamah Kesalahan RAK menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap wanita itu kerana melanggar hak peribadi suaminya, membuka e-mel lelaki itu tanpa pengetahuannya serta berkongsi perbualannya.
Suaminya mengemukakan tuntutan di sebuah mahkamah sivil, di mana dia memberitahu bahawa isteri keduanya mengakses telefon bimbit tanpa pengetahuannya.
Wanita dijel gara-gara baca mesej telefon bimbit suami. Dia mengakses telefon bimbit suaminya tanpa pengetahuannya. |
Lelaki itu mendakwa tindakan tersebut menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan kerana perlu pergi ke luar negara untuk memujuk isteri pertamanya.
Mangsa turut memberitahu bahawa dia kehilangan pekerjaan disebabkan masalah itu, justeru, meminta wang pampasan berjumlah 25,000 dirham UAE (RM28,784) untuk kerugian kewangan, kerosakan moral serta pelanggaran privasi.
Mahkamah mendapati wanita itu bersalah dan memaklumkan bahawa mangsa terpaksa membayar yuran guaman sebanyak 2,100 dirham UAE (RM2,418) disebabkan olehnya.
Jadi, dia perlu membayar pampasan kepada lelaki itu.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permintaan wang ganti rugi lelaki itu yang disebabkan oleh kemusnahan pelbagai perkara termasuk kehilangan pekerjaan serta perbelanjaan keluar dan dalam negara disebabkan kekurangan bukti. – AGENSI