Virus Delta boleh tumbuh dalam hidung!

GAMBAR hiasan. FOTO EPA



Putrajaya: Kajian baharu mengenai varian membimbangkan (VOC) Delta mendapati bahawa varian berkenaan boleh tumbuh di dalam hidung individu yang sudah mendapat suntikan vaksin.

Keadaan itu disifatkan sama seperti individu yang belum divaksinasi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian awal terhadap satu kes jangkitan mendapati, varian Delta itu tumbuh di hidung orang yang sudah divaksinasi seolah-olah individu berkenaan belum mendapatkan vaksin.

"Virus yang tumbuh itu sama penularannya kepada orang yang tidak divaksinasi. Ini bermaksud individu yang sudah divaksin tetap dapat menyebarkan virus berkenaan serta menjangkiti orang lain," katanya menerusi Facebook, tadi.

Tambah Dr Noor Hisham, sebelum ini beberapa kajian yang dijalankan di hospital di India, Provincetown, Massachusetts dan Finland juga turut mendapati terdapat banyak virus Delta dikesan di dalam hidung seseorang indvidu itu sama ada mereka diberi vaksin atau tidak.

Mengenai virus Delta, Dr Noor Hisham sebelum ini dilaporkan berkata varian berkenaan boleh merebak dalam masa lima hingga 15 saat dan jangkitan melalui udara.

Beliau berkata tempoh itu ternyata singkat jika dibandingkan dengan kes positif Covid-19 sebelum ini, iaitu individu yang terdedah boleh menjangkitkan virus berkenaan dalam jangka masa kurang dari 15 minit dengan jarak satu meter.

Varian Delta pada asalnya digelar sebagai B.1.617.2 itu pertama kali dikesan di Maharashtra, barat India pada Oktober tahun lalu.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.