Video tular serang pengawal keselamatan, suspek sudah didakwa

POLIS mengesahkan kejadian lelaki menyerang pengawal keselamatan hingga parah di sebuah kondominium di sekitar Ipoh dalam video tular sejak Khamis berlaku pada Disember tahun lalu.



POLIS mengesahkan kejadian lelaki menyerang pengawal keselamatan hingga parah di sebuah kondominium di sekitar Ipoh dalam video tular sejak Khamis berlaku pada Disember tahun lalu.

Lelaki berkenaan juga sudah didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari lalu dan kes itu akan akan disebut semula pada 9 September ini

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata hasil semakan polis, kejadian berkenaan berlaku pada 29 Disember tahun lalu ketika mangsa sedang bertugas di kolam renang kondominium tersebut.

“Kejadian berpunca apabila suspek yang tidak berpuas hati dengan mangsa kerana cuba menghalang anaknya daripada menggunakan kolam renang yang ditutup kepada orang ramai ketika itu.

“Mangsa yang pengsan dan cedera di belakang kepala dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.




Mior Faridalathrash berkata, suspek didakwa mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah atas bangkitan marah.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya semalam.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di HRPB mengesahkan kematian mangsa adalah akibat jangkitan kuman pada paru-paru (Sepsis).

“Namun, keadaan itu menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli keluarga mangsa dengan mendakwa punca kematian mangsa disebabkan mangsa dipukul oleh suspek lalu bertindak menularkan rakaman dan gambar mangsa ketika kejadian itu.

“Berdasarkan keterangan ini, polis akan merujuk semula kertas siasatan terhadap kes berkenaan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini memandangkan ia masih dalam perbicaraan mahkamah.

“Polis memandang serius aktiviti jenayah yang berlaku dan tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan jenayah yang mengganggu gugat keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Sejak Khamis lalu, tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 16 saat memaparkan seorang lelaki yang ketika kejadian bersama seorang kanak-kanak bertindak mengasari seorang pengawal keselamatan hingga pengsan. – Malaysiapost

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.