Lan Pet Pet ketika sidang akhbarnya hari ini. |
SHAH ALAM – Pelawak terkenal, Mazlan Ahmad, 52, atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet menafikan terlibat dalam sebarang penjualan barangan terlarang seperti tular baru-baru ini.
Lan Pet Pet berkata, sebaliknya ia merupakan produk krim kesihatan lelaki dengan dia merupakan rakan kongsi tersebut.
Katanya, video tersebut memberikan imej negatif kepadanya dan keluarga walaupun ketika kejadian sebenarnya dia sedang membuat penghantaran (COD) krim tersebut di sebuah lokasi di Kedah.
“Ramai salah faham apabila video tular menyatakan saya menjual barang terlarang. Saya ingin tegaskan tidak buat begitu.
“Orang itu (pembeli) duduk kampung hendak membeli krim tersebut, namun tidak tahu cara pesanan dalam talian disebabkan telah tua. Produk ini mungkin menyebabkan dia malu dengan keluarga dan isterinya, jadi saya buat COD produk itu sahaja,” katanya pada sidang akhbar di hadapan kompleks mahkamah, Seksyen 5 di sini hari ini.
Beliau yang kini bekerja sebagai pegawai khas di sebuah firma guaman memberitahu, dia memaafkan perakam dan netizen yang mengecam susulan penularan video tersebut.
Ujar , dia juga tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang termasuk menyaman perakam terbabit dan mereka yang menularkan video itu
Sebelum ini, tular di Twitter sebuah video yang memaparkan seorang individu seperti sedang menjalankan urusan jual beli dalam keadaan mencurigakan.