KUALA LUMPUR: UMNO dan PAS tidak merestui cubaan Ismail Sabri Yaakob untuk dicalonkan sebagai perdana menteri “caretaker,” dan timbalan perdana menteri itu dikatakan bermasalah mengekalkan sokongan Ahli Parlimen Umno yang sebelum ini menyokong beliau, menurut sumber.
Sumber itu berkata pucuk pimpinan Umno kecewa dengan tindakan Ismail “membelakangkan kepentingan parti “, dan sebaliknya cuba mendapatkan sokongan kalangan Ahli Parlimen Umno, Pejuang dan Amanah untuk dicalonkan sebagai perdana menteri “caretaker,” jika diperkenan oleh Istana Negara.
Menurut sumber itu, langkah Ismail itu didokong oleh Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, namun naib presiden Umno itu menghadapi masalah memperolehi sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen.
Pada masa sama, adalah difahamkan PAS menolak Ismail sebagai pilihan bagi jawatan perdana menteri dan sebaliknya menerima calon yang ditampilkan oleh Umno sendiri.
Jika Muhyiddin meletak jawatan esok, parti Islam itu dikatakan bersedia menyokong siapa sahaja calon daripada Umno untuk menjadi PM caretaker tetapi berpendirian “No Ismail, No Hishammuddin (Hussein).”
Menurut sumber Umno, selain ditolak PAS, Ismail juga sukar mengekalkan sokongan 23 Ahli Parlimen Umno yang sebelum ini dikatakan bersama beliau.
“Ismail sendiri dan beberapa menteri Umno lain rasa tersepit apabila Muhyiddin mengadakan perbincangan dengan DAP, tanpa berunding dengan mereka,” kata sumber itu.
“Beberapa menteri ini membuat pengakuan dalam grup whatsapp bahawa mereka juga akan menarik balik sokongan,” yang diberikan sebelum ini,” kata sumber itu.
Beliau menyifatkan sokongan Ahli Parlimen Umno yang diberikan kepada Ismail sebelum ini, sebagai “goyah dan berpecah.”
Sumber itu merujuk kepada tindakan Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas kepartian untuk memperolehi sokongan pembangkang, termasuk DAP, bagi membolehkan beliau kekal perdana menteri.
Bagaimanapun Umno dan blok pembangkang menolak kerjasama itu, dan Muhyiddin dilaporkan akan meletak jawatan esok setelah kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Susulan itu, sumber itu berkata Ismail tampil mahu dicalonkan sebagai perdana menteri ‘caretaker,’ tanpa persetujuan Umno.
“Petang ini beberapa pemimpin utama Umno difahamkan mengadakan perbincangan untuk menentukan calon Perdana Menteri parti itu untuk dipertimbangkan oleh Agong sekiranya diminta, kata sumber berkenaan.
“Bagaimanapun Ismail dan Mahdzir Khalid tidak dijemput dalam sesi perbincangan petang ini. Ismail, khususnya, dilihat masih mahu membelakangkan parti di saat saat genting ini,” kata sumber berkenaan. – FMT