Umno khuatir ‘kesilapan teknikal’ jika pemilihan dibuat Online - Zahid

Ahmad Zahid Hamidi berkata kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar akan mendatangkan suatu masalah terhadap kelancaran mesyuarat.



PETALING JAYA: Umno tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara dalam talian di semua peringkat berikutan khuatir berlaku “kesilapan teknikal” yang tinggi, kata Presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, dengan kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar akan mendatangkan suatu masalah terhadap kelancaran mesyuarat dan persidangan bersama pemilihan.

“Penangguhan pemilihan Umno tidak boleh disamakan dengan penangguhan sidang Parlimen kerana ia melibatkan 66,287 mesyuarat, seramai 3.3 juta ahli Umno iaitu cawangan (21,135 mesyuarat), Wanita cawangan (21,058 mesyuarat), Pemuda cawangan (15,496 mesyuarat), Puteri cawangan (8,598 mesyuarat).

“Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di bahagian, wanita, pemuda dan puteri,” katanya di Facebook.

Zahid turut menyeru Ahli Parlimen parti itu yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya membuka hati dan menginsafi perjuangan politik sebenar demi rakyat serta negara.


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengatakan parti itu tidak pernah mengadakan pemilihan secara maya di peringkat mana pun sebelumnya, dan pemilihan itu akan melibatkan 3.3 juta ahli.
Beliau mempersoalkan adakah mereka merestui tindakan kerajaan PN ke atas parti mereka sendiri selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) memaklumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah JPPM Jasri Kasim dilaporkan berkata, keputusan MKT Umno menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah kerana dibuat selepas tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

Sehubungan itu, Jasri meminta Umno membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan, dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada JPPM dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun semalam, peguam Umno berpandangan MKT mempunyai kuasa mutlak untuk menangguhkan pemilihan Umno selama 18 bulan seperti pemakluman dibuat kepada JPPM.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, ini selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan Umno.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.