Tikam rakan dengan pisau disebabkan dadah

POLIS menahan suspek yang disyaki menikam kenalannya di penempatan Bukit Malut, Langkawi, Kedah, semalam.



LANGKAWI: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki menikam seorang rakannya dengan sebilah pisau dapur di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bukit Malut, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, suspek berusia 27 tahun sebelum itu membaling kayu ke arah mangsa berusia 25 tahun yang membonceng motosikal bersama rakan sebelum menikamnya dalam kejadian pada pukul 8.30 malam.

Katanya, kedua-dua lelaki tersebut yang bekerja sendiri dan tinggal di kawasan penempatan itu serta saling mengenali, bergaduh dipercayai berkaitan dengan dadah dan hutang.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa sedang membonceng motosikal bersama saksi (rakannya) dan secara tiba-tiba suspek membaling kayu ke arah mangsa.

“Rakan mangsa kemudian memberhentikan motosikal dan suspek telah pergi ke arah mangsa lalu mengeluarkan sebilah pisau dan menikam belakang badan mangsa sebanyak dua kali,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau memberitahu, suspek selepas itu ditahan penduduk kampung selepas kejadian itu dan dibawa ke Subtek Polis PKPD Bukit Malut untuk tindakan lanjut.

“Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Langkawi kemudian menahan suspek dan melakukan siasatan di tempat kejadian.

“Polis menemukan sebatang kayu dan sebilah pisau dapur yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, mangsa yang cedera itu pula dihantar ke Hospital Sultanah Maliha Langkawi untuk menerima rawatan.

Sementara itu, menurutnya, suspek juga ditahan reman tujuh hari bermula hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.