Pelakon, Jasmine Suraya Chin, 32 |
Pelakon, Jasmine Suraya Chin, 32, mengaku meski tidak mengenali Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin, namun hatinya juga terkesan dengan pemergian penyanyi kesayangan ramai tersebut.
Menurut Jasmine, dia secara peribadi sebelum ini pernah menyaksikan persembahan penyanyi itu selain pernah bekerjasama dengan Shuib Sepahtu.
“Jujurnya, saya sangat terkejut. Serius, saya benar-benar sangkakan dia akan berjaya melawan sakit itu. Berita itu sangat mengejutkan. Saya pernah tengok persembahan Sarah dan bekerjasama dengan Shuib, dia memang baik betul.
“Pada mulanya, saya sangat aktif dan sibuk, tapi lepas bersenam, saya terbaring atas alas yoga dan tiba-tiba rasa sangat penat. Letih macam otak saya macam nak meletup. Saya teringatkan Siti Sarah. Saya tak tahu kenapa dan kemudian menangis. Masih tidak tahu kenapa.
“Malah, semasa menulis ini pun air mata rasa nak mengalir. Saya tak tahu kenapa terfikirkan dia sedangkan tidak mengenali dia secara dekat. Saya rasa lemah dan terbaring di situ adalah dalam 20 minit tak bergerak,”katanya.
Jasmine berkongsikan perkara itu dalam satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagramnya semalam dengan sekeping gambar pemandangan yang dirakamkannya sebelum itu.
Dalam pada itu, turut dilihat meninggalkan komen pada hantaran tersebut ialah rakan artis dan selebriti Ramona Zamzam, Daiyan Trisha dan Afifah Nasir.
“Bertahanlah, kita semua sedang merasakan hal yang sama. Ia sangat menyentuh hati. Bangun dan mendapat perkhabaran pemergian kak Sarah. Tetapi, dalam masa yang sama, saya percaya kita semua secara mentalnya sudah penat dengan situasi Covid ini.
“Masih ingatkah betapa sibuknya kerja kita Jas? Dan kita duduk di rumah sejak begitu lama, dirundung dengan begitu banyak berita kesedihan setiap hari. Luahkan, Jasmine. Luahkan,”kata Ramona memberi semangat pada Jasmine.
Sebagaimana Ramona, Afifah juga mengaku sedang berdepan dengan perasaan yang sama dan menganggap Jasmine tidak berseorangan.
“Awak tidak berseorangan. Saya juga merasai perkara yang sama. Menangis dan menangis. Dia kini berada di tempat yang lebih baik sementara kita semua perlu teruskan hidup dengan perasaan takut terhadap wabak ini,”katanya.