SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua ahli Dewan Rakyat yang menyokong dan memberi kepercayaan kepadanya sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Ismail Sabri yang juga ahli Parlimen Bera turut bertekad menjalankan tugas sebaiknya untuk negara.
"Patik menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, atas pelantikan patik sebagai Perdana Menteri Malaysia.
"Syukur kehadrat Ilahi. Insya-ALLAH saya akan menjalankan tugas ini untuk Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.
Pada Sabtu, Ismail Sabri secara rasmi diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada jam 2.30 petang.