Lebih ramai rakyat di negara ini akan memasang bendera putih berbanding Jalur Gemilang terutama ketika negara masih lagi berhadapan krisis pandemik Covid-19 dan keluarga yang belum dapat keluar daripada implikasinya.
Perkara itu dijangkakan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yang memberitahu sambutan kemerdekaan seakan-akan tidak bermakna disebabkan rakyat berada dalam keadaan sosio-ekonomi tidak stabil.
“Rakyat hari ini menumpukan perhatian untuk menjaga kesihatan dan ekonomi keluarga, maka, perkara lain seperti memasang Jalur Gemilang tidak menjadi agenda penting. Ramai memilih untuk mengibarkan bendera putih bagi mendapatkan bantuan makanan.
“Hari ini, suasana politik pun tidak menentu. Bagaimana rakyat hendak bersukaria memasang Jalur Gemilang di rumah,”katanya ketika ditemui di Seksyen 9 hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sambutan kemerdekaan ke 64 yang dilihat suram.
KAWASAN perumahan suram tanpa Jalur Gemilang dipasang di hadapan rumah hari ini. |
“Kes Covid-19 semakin meningkat, kematian dalam kalangan kenalan pun turut kita dengari setiap hari. Bagaimana kemerdekaan hendak diraikan,”katanya.
Katanya lagi, sikap orang ramai yang hanya menunggu Jalur Gemilang percuma juga menjadi punca bendera Malaysia tidak dipasang di kediaman dan premis perniagaan masing-masing.
Bagaimanapun, Pas Selangor menyangkal dakwaan bahawa semangat cintakan negara di kalangan rakyat, terutama generasi muda semakin pudar dalam kalangan mereka.
Sebaliknya, menurut Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi, generasi tersebut tetap memiliki semangat patriotik, cuma, cara sambutannya mungkin berbeza berbanding biasa.
Katanya, mungkin ‘feel’ nak pasang bendera itu belum sampai lagi, tapi, beliau yakin, ada di antara mereka akan kibarkan Jalur Gemilang seminggu sebelum 31 Ogos. -UTUSAN ONLINE