SEKUMPULAN individu yang didapati gagal patuh SOP Fasa Dua PPN ketika aktiviti riadah di Bukit Bangkong, Tanah Hitam dekat Chemor, Ipoh kelmarin.-Foto MEDIA SOSIAL |
IPOH – Tindakan sekumpulan individu yang melanggar pematuhan prosidur operasi standard (SOP) ketika beriadah di Bukit Bangkong, Tanah Hitam dekat Chemor kelmarin sedang disiasat.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan dilakukan susulan video kejadian itu tular setelah dimuatnaik di media sosial.
“Kita memandang serius kandungan video tersebut kerana kelihatan beberapa individu sedang beriadah secara berkumpulan dan gagal mengikut pematuhan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara yang sedang berkuatkuasa di negeri ini.
“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Peraturan 7, Akta 342 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya di sini hari ini.
Menurut Yahaya, orang ramai diingatkan agar mengikut pematuhan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak risiko penularan wabak Covid-19 dalam komuniti.
SEKUMPULAN individu yang langgar SOP ketika aktiviti riadah. |
“Aduan atau maklumat mengenai ketidakpatuhan SOP di Ipoh boleh dihantar melalui Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2542222 atau ketua polis daerah Ipoh menerusi emel kpdipoh@rmp.gov.my,” katanya.