Antara warga Thailand yang ditahan dalam Ops Patuh. - NSTP/Ihsan PDRM |
KUANTAN: Seorang penjawat awam berusia 40-an, ditahan Jabatan Imigresen kerana disyaki menjadi 'bapa ayam' dan melindungi 11 wanita warga asing dalam Ops Patuh di Lorong Galing, Taman Imbi, di sini kelmarin.
Tangkapan dibuat Jabatan Imigresen Negeri Pahang selepas memeriksa dua rumah sewa di taman berkenaan, sebelum mendapati lelaki terbabit tinggal bersama serta disyaki bertindak melindungi wanita warga Thailand itu.
Jabatan Imigresen dalam kenyataannya, berkata kumpulan wanita warga asing itu didapati melakukan beberapa kesalahan termasuk masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas perjalanan sah dan tinggal lebih masa.
Katanya, siasatan mendapati dua rumah sewa terbabit dijadikan tempat tinggal wanita itu yang dipercayai terbabit dengan aktiviti tidak bermoral.
"Kegiatan itu dibongkar dalam pemeriksaan Ops Patuh terhadap kawasan berkenaan yang disertai 21 penguat kuasa imigresen Pahang diketuai Ketua Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Jeffri Nasir.
"Dalam pemeriksaan bermula jam 5 petang hingga 7.30 malam itu turut menemui minuman keras di ruang tamu rumah berkenaan," katanya, di sini hari ini.
Kenyataan itu menyebut, semua wanita warga Thailand yang ditahan dalam serbuan itu, dibawa ke Depot Imigresen Kemayan untuk tujuan siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).
"Penjawat awam yang ditahan itu pula berdepan siasatan mengikut Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana sengaja memberi perlindungan kepada orang yang diketahui melanggar peruntukan Akta Imigresen.
"Jabatan Imigresen memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI), sebaliknya tampil menyalurkan maklumat sekiranya ada aktiviti menyalahi undang-undang khususnya membabitkan kesalahan di bawah Akta Imigresen," katanya.