Penduduk Malaysia kini cecah 32.66 juta

MOHD. UZIR MAHIDIN



PUTRAJAYA: Penduduk Malaysia bagi suku kedua tahun ini dianggarkan seramai 32.66 juta orang, meningkat 0.2 peratus berbanding suku tahun kedua tahun sebelumnya (32.58 juta).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah penduduk itu merangkumi 29.96 juta orang (91.8 peratus) warganegara dan 2.69 juta orang (8.2 peratus) bukan warganegara.

Beliau berkata, komposisi penduduk bukan warganegara menurun daripada 8.9 peratus pada suku tahun kedua 2020 kepada 8.2 peratus pada suku tahun kedua tahun ini.

“Penurunan ini adalah selari dengan penutupan pintu sempadan negara dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, data penduduk itu adalah berasaskan kepada Banci Penduduk dan Perumahan 2010, pertambahan semula jadi kelahiran dan kematian dan migrasi bersih sebelum disemak semula setelah hasil dapatan Banci Malaysia 2020 diperoleh.

Mohd. Uzir berkata, pada suku tahun kedua ini, penduduk lelaki (16.77 juta) melebihi penduduk perempuan (15.88 juta) manakala, nisbah jantina penduduk adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Katanya, penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.29 juta kepada 2.4 juta bagi tempoh sama.

“Trend ini selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk,” katanya.

Mohd. Uzir berkata, tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada suku tahun kedua ini ialah Selangor (20.1 peratus) diikuti oleh Sabah (11.7 peratus) dan Johor (11.6 peratus).

“Manakala, Labuan dan Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu 0.3 dan 0.4 peratus,” katanya. 

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.