SHAMSUL Anuar Nasarah ketika ditemui pemberita di perkarangan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Putrajaya. |
PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan, tindakan peletakan jawatannya sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli adalah sebagai sokongan dan tanda setia kepada parti UMNO yang dianggotainya.
Beliau turut memberitahu, surat peletakan jawatannya juga akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.
“Tidak perlu hantar kepada Yang di-Pertuan Agong, saya akan ikut saluran prosedur yang sepatutnya.
“Saya tidak ada komen apa-apa dan datang ke kementerian hari ini untuk ucapkan terima kasih kepada warga kementerian yang banyak membantu melaksanakan tanggungjawab,” jelasnya ketika ditemui pemberita sebelum beliau meninggalkan pejabat di Kementerian Tenaga dan Sumber Asli hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai dasar kementerian, Shamsul Anuar mengharapkan apa yang terbaik dan telah dilaksanakan, dapat diteruskan.
Difahamkan beliau mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi kementerian dan Ketua-Ketua Pengarah Jabatan secara maya.
Diiringi pengawai kanan kementerian, beliau meninggalkan bangunan itu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam dengan membawa beberapa barangan peribadi termasuk gambar potretnya.
Semalam, Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengumumkan meletakkan jawatan sebagai menteri selepas mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti.
Beliau dilaporkan berkata, dia ingin memberi tumpuan dan fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar.