Muhyiddin Yassin memberi ucapan terakhir selepas mesyuarat terakhir kabinet Kerajaan PN |
PUTRAJAYA : Bekas-bekas menteri daripada Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mula memberi kata-kata akhir sebagai menteri dan mendoakan negara supaya terus sejahtera.
Bekas Menteri Kanan Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi satu ciapan Twitter berkata, beliau menghargai peluang yang telah diberikan dengan menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai menteri.
“Merupakan suatu kehormatan dan istimewa untuk berkhidmat kepada negara tercinta dan rakyat Malaysia. Semoga Allah S.W.T memberkati kita semua,” katanya.
Selain itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, peletakan jawatan ini adalah kerana rasa tanggungjawab kepada negara.
“Pengunduran atas ‘collective responsibility’ bukan ‘collective guilt’. Terima kasih atas segalanya, yang pahit menjadi ubat, yang manis menjadi pengubat. Negara selamat semua terubat,” katanya.
Ciapan itu diakhiri dengan tanda pagar #StaySafeandFocus.
Tengah hari tadi, kenderaan bersama polis pengiring membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara bagi memaklumkan peletakan jawatan beliau sebagai Perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.
Manakala sebelum itu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong dan meninggalkan pekarangan Istana Negara pada pukul 11.45 pagi. -UTUSAN ONLINE