Messi sah tinggalkan Camp Nou menuju ke Paris

MESSI tidak dapat menahan kesedihan ketika menghadiri sidang media di Camp Nou sebentar tadi. - AFP



BARCELONA – Bintang Argentina, Lionel Messi mengesahkan dia tidak lagi menyarung jersi Barcelona selepas gagal memperbaharui kontrak bersama pasukan La Liga itu.

Messi yang menyertai The Catalans sejak 2000 ketika berusia 13 tahun mengakui, dia langsung tidak berniat untuk meninggalkan pasukan itu kerana menganggap rundingan kontrak baharu tidak berdepan masalah.

Bagaimanapun, sebaliknya berlaku apabila Barcelona terpaksa melepaskan aset mereka yang paling bernilai itu secara percuma gara-gara Peraturan Kewangan Adil (FFP) yang diperkenalkan La Liga.

“Sudah tentu ini detik yang sangat sukar kerana saya tidak berniat untuk meninggalkan pasukan ini. Saya berada di kelab ini sepanjang hidup saya, jadi tidak sangka ia berakhir seperti ini.

“Secara jujur, memang saya mahu keluar pada musim lalu, namun tidak berlaku. Kali ini, saya mahu kekal di kelab tetapi disebabkan La Liga, saya terpaksa tinggalkan pasukan ini,” kata Messi pada sidang media di Camp Nou sebentar tadi.


Messi tinggalkan Camp Nou dalam kesedihan.
Pada masa sama, Messi tidak menolak kemungkinan dia akan menyertai kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) tetapi mengakui, pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung destinasi seterusnya.

“Perkara itu (PSG) tidak mustahil tetapi kami masih belum bersetuju dengan mana-mana pihak. Saya menerima banyak panggilan daripada kelab berminat, namun semuanya masih belum dimuktamadkan,” ujarnya.

Difahamkan, PSG merupakan satu-satunya kelab yang sedang berunding secara terus dengan Messi dan sedia menawarkan kontrak selama dua tahun dengan nilai £25 juta (RM146.4 juta) setahun.-AGENSI

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.