Seorang lelaki yang ditemui mati di tepi kereta di Taman Tunku Hamimah, Sungai Petani pada pagi tadi disahkan positif Covid-19. |
SUNGAI PETANI – Seorang lelaki yang ditemui mati di tepi sebuah kereta berhadapan kedai dobi di Taman Tunku Hamimah di sini pagi tadi disahkan positif Covid-19.
Mangsa, Mohd. Shahir Shafie, 38, dari Taman Baiduri di sini dijumpai dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri di tepi kereta jenis Perodua Kancil oleh pekerja syarikat pembersihan kira-kira pukul 8.50 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman memberitahu, pekerja syarikat pembersihan tersebut dikatakan sedang menyapu sampah di kawasan itu sebelum ternampak mangsa berjalan kaki menuju ke hadapan kedai dobi tersebut.
“Mangsa tiba-tiba rebah di tepi kereta jenis Perodua Kancil dan terus tidak sedarkan diri sebelum pekerja terbabit menghubungi pihak Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi mendapatkan bantuan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa disahkan telah meninggal dunia dan mayat lelaki terbabit dibawa ke HSAH untuk tindakan lanjut.
Seorang lelaki yang ditemui mati di tepi kereta di Taman Tunku Hamimah, Sungai Petani pada pagi tadi disahkan positif Covid-19. |