Tangkap layar YouTuber tersebut mempromosikan video berkenaan di laman Instagramnya. |
Tindakan seorang ‘YouTuber’ menjadikan video dirinya melawat tempat pengebumian penyanyi, Siti Sarah Raisuddin yang meninggal dunia semalam sebagai kandungan di dalam laman YouTubenya mendapat kecaman orang ramai.
Pengguna media sosial menyifatkan tindakan YouTuber berusia 20-an itu tidak menghormati sensitiviti keluarga Allahyarham yang baru sahaja kehilangan orang tersayang.
Apa yang membangkitkan kemarahan pengguna media sosial ialah apabila YouTuber tersebut juga dilihat mempromosikan video berkenaan beberapa jam sebelum dimuat naik di laman YouTube.
Menerusi video berdurasi 10 minit 25 saat itu juga memaparkan YouTuber tersebut sempat meminta penonton video berkenaan menyunting rakaman yang dimuatnaik di YouTubenya itu dan menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM100 bagi video paling cantik.
“Hal macam ini pun boleh jadi content ya? Tak masuk akal, demi dapatkan view? Mana pergi sensitiviti?,” kata Asyraf.
“Jaga sensitiviti, keluarga Shuib masih dalam kesedihan. Maaf saya terpaksa membuat laporan agar pihak YouTube memadam video tersebut,” kata XavierNaza.
“Buat content entah apa-apa, kena kecam, buat duit lepastu minta maaf. Dah selalu sangat dia ni,” kata Anor.
Tinjauan Kosmo! di laman YouTube tersebut mendapati, video berkenaan telahpun ditetapkan dalam mod peribadi tetapi didakwa telah dipadamkan oleh YouTuber berkenaan.
Terdahulu, penyanyi terkenal Siti Sarah Raissuddin, 36, yang bertarung nyawa sejak Rabu lalu akibat jangkitan Covid-19 meninggal dunia awal pagi semalam.
Isteri kepada pelawak dan usahawan, Shuib itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.