LIONEL MESSI
PSG tawar kontrak lumayan pada Messi
PARIS: Lionel Messi semakin hampir menandatangani perjanjian lumayan dengan Paris Saint-Germain (PSG), jumlah yang membuatkan ramai orang faham mengapa Barcelona enggan mengekalkan legenda mereka itu.
Messi, 34, menjadi ejen bebas sejak 1 Julai lalu selepas kontraknya dengan Barcelona tamat, namun gergasi bola sepak Sepanyol itu berulang kali memberi jaminan akan memastikan pemain tersebut kekal di Camp Nou.
Hartawan Qatar yang juga pemilik PSG, Tamim Hamad Al Thani tidak membuang masa apabila terus memulakan rundingan dengan Messi dan wakilnya sejurus selepas Barca mengumumkan pemain itu akan meninggalkan Barcelona.
Menurut laporan L’Equipe, gergasi Perancis itu menawarkan 40 juta euro (RM198.51 juta) setahun selepas cukai.
Messi akan menerima gaji 769,230 euro (RM3.82 juta) seminggu iaitu bersamaan 109,890 euro (RM545,353) sehari, 4,579 (RM22,724) sejam dan 76 euro (RM377.17) seminit, jumlah yang keberatan untuk dipenuhi Barcelona.
Kapten Argentina itu juga akan bergabung dengan musuh lamanya, iaitu legenda Real Madrid, Sergio Ramos yang hampir senasib dengan Messi tidak disambung kontrak oleh Los Blancos.
Jika perjanjian menjadi kenyataan, Messi akan membentuk jentera serangan ‘superstar’ di PSG bersama rakan baiknya, Neymar dan Kylian Mbappe.
Bagaimanapun ketika ramai yang menjangkakan Messi akan ke Paris, Manchester United dikatakan cuba ‘memancing’ pemenang enam gelaran Ballon d’Or itu.
Konsultan bola sepak terkenal Britain, Ian McGarry dalam podcast (audio siar) Reach PLC’s Transfer Window berkata, United telah menghantar tawaran kontrak kepada kem Messi.
Jiran mereka, Manchester City awal-awal mengesahkan tidak berminat mendapatkan penyerang tersebut. – AGENSI
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date