Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan suspek menaiki motosikal berwarna merah muncul dari belakang sebelum merentap bag tangan mangsa.
Kerani akaun diragut ketika hendak ke pejabat
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata dalam kejadian 7.30 pagi itu, mangsa, 32, yang merupakan seorang kerani akaun sebuah syarikat swasta sedang berjalan kaki berseorangan ke pejabatnya yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.
"Mangsa tidak menyedari kehadiran suspek yang menaiki sebuah motosikal datang dari arah belakang lalu merentap beg tangan yang digalas pada lengan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa tidak mampu berbuat apa-apa kerana terlalu panik dan terkejut dan sekadar mampu melihat suspek memecut motosikal laju melarikan beg tangannya.
Stanley berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia juga gagal mengecam suspek dan nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki suspek.
Susulan itu, mangsa telah membuat laporan polis dan mengalami kerugian kira-kira RM2,000 termasuk sebuah telefon bimbit, kad pengenalan, dua kad juruwang automatik (ATM), empat kad kredit, satu set kunci kereta dan wang tunai berjumlah RM250.
Siasatan polis di tempat kejadian melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis kedai berhampiran menunjukkan suspek menunggang motosikal berwarna merah, berbaju jaket hitam dan berseluar panjang datang dari belakang sebelum merentap beg tangan mangsa.
"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," tambah beliau.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date