Jue Aziz positif Covid-19, mohon doa, ampunkan dosa

Jue Aziz mengesahkan dia kini positif Covid-19.



PETALING JAYA – Virus maut Covid-19 tidak mengenal sesiapa. Terkini pelakon Jue Aziz menjadi mangsa terbaharu selepas mengesahkan dirinya positif wabak tersebut.

Jue berkongsi khabar duka tersebut menerusi hantaran terbaharu dalam laman Instagramnya sebentar tadi.

“Salam kesayangan saya semua. Tolong doakan kesihatan Jue. Jue positif Covid-19.

“Simptom batuk, demam, sakit kepala, selesama, hilang deria rasa.

“Nak makan dan buang air kecil selalu rasa ngilu. Yang paling tak tahan menggigil sejuk badan sampai ke tulang dan macam demam sakit urat,” tulisnya.

Pada hantaran sama, Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abdul Aziz, 38, turut memohon maaf sekiranya dia ada berbuat salah mahupun secara sengaja atau tidak.

“Jue ingin memohon maaf sekiranya Jue ada buat salah sama ada sengaja atau tidak. Harap dimaafkan. Semoga Allah membalas jasa baik semua atas doa-doa kalian,” katanya lagi.

Meninjau ruangan komen, rata-rata pengikut dan rakan selebriti turut berdoa pelakon filem Hantu Bonceng itu agar diberikan kesembuhan.

Sebelum ini, beberapa selebriti tanah air antaranya Ashraf Muslim, Puteri Aishah, Alif Satar, Harris Anuar, Shima Anuar, Emma Maembong, Aepul Drama Band, Sweet Qismina, Aprena Manrose dan Man Kidal juga pernah disahkan positif Covid-19.

Hari ini Malaysia mencatatkan 21,688 kes dengan 318 kematian kes baharu Covid-19.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.