Jika hilang majoriti, nasib Muhyiddin bergantung pada Agong

MUHYIDDIN YASSIN dan AHMAD ZAHID HAMIDI



PETALING JAYA: Keabsahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan jatuh ekoran penarikan sokongan UMNO boleh ditentukan menerusi pertemuan bersemuka setiap ahli Parlimen dengan Yang di-Pertuan Agong.

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Madya Datuk Dr. Wan AHmad Fauzi Wan Husian berkata, ini kerana proses penentuan kepercayaan kepada Perdana Menteri dibuat di luar Parlimen dan perlu ditentukan sendiri oleh Seri Paduka.

Katanya, perkara itu dibuat sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong berhak melantik Perdana Menteri daripada ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mendapat sokongan majoriti.

“Bagaimanapun pada masa kini masih terlalu awal untuk mengatakan Kerajaan PN tumbang.

“Kita tidak tahu jika ada ahli Parlimen pembangkang yang lompat masuk PN,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.


Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempersembahkan surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menzahirkan penarikan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya Pensyarah kanan Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata secara prinsip Kerajaan PN telah tumbang kerana hilang kepercayaan ahli-ahli Dewan Rakyat apabila Ahmad Zahid memaklumkan telah menyerahkan surat akuan kepada Seri Paduka untuk menarik sokongan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Malah katanya lagi, kehadiran 11 ahli Parlimen UMNO dalam sidang media UMNO sekali gus menguatkan hujah secara terang-terangan terbuka bahawa penolakan wakil rakyat parti kepada PN.

“Ini secara terang lagi bersuluh bahawa secara prinsipnya kerajaan PN telah jatuh dan Muhyiddin perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.

Justeru itu, beliau berkata, Agong perlu melantik seorang Perdana Menteri yang baharu di dalam kalangan ahli Parlimen mempunyai sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Namun sekiranya tiada pihak berbuat demikian, Mazlan berkata, Parlimen perlu dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum dan beliau berpandangan perlu itu tidak semestinya dilakukan dalam masa terdekat susulan peningkatan kes Covid-19.

“Mungkin Agong boleh mempertimbang melantik seorang Perdana Menteri Interim sehingga pilihan raya umum diadakan kelak nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.