Hembusan nafas terakhir di rumah

PROSES pengebumian mangsa Covid-19 di sebuah tapak perkuburan di Jakarta. - AFP



JAKARTA: Taufiq Hidayat memasuki rumah pesakit Covid-19 yang meninggal dunia untuk membawa keluar jenazah bagi proses pengebumian di kawasan perkuburan berhampiran kejiranan mereka.

Taufiq mengetuai puluhan sukarelawan yang melakukan kerja-kerja pengurusan jenazah Covid-19 di ibu negara Indonesia, Jakarta.

“Ia memang sukar dan agak panas bagi kami kerana terpaksa memakai baju pakaian pelindung diri (PPE) sepanjang masa dari mengangkat jenazah Covid-19 sehingga dikebumikan,” katanya.

Jumlah panggilan diterima daripada keluarga mangsa Covid-19 telah berkurangan sejak gelombang kedua wabak melanda Indonesia pada pertengahan Julai lalu.

Namun, masih terdapat laporan mangsa Covid-19 meninggal dunia di rumah meskipun kapasiti katil di hospital dan pusat kuarantin di negara itu sudah ditingkatkan.

Berdasarkan laman sesawang LaporCovid-19, setakat bulan ini, kira-kira 50 orang meninggal dunia di rumah akibat jangkitan Covid-19.

Penganalisis data laman sesawang itu, Fariz Iban berkata, jumlah itu meningkat kira-kira 2,400 orang pada Julai lalu iaitu pertambahan enam kali ganda berbanding bulan Jun.

Fariz berkata, angka pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di rumah agak mengejutkan.

Menurut LaporCovid-19, kebanyakan kes tersebut berlaku di Jakarta kerana hanya kerajaan tempatan itu yang berkongsi data kematian akibat wabak itu di rumah.

Seorang jurucakap Kementerian Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi berkata, pihaknya tidak menyimpan sebarang rekod data pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di rumah.

Kata Siti Nadia, individu yang dijangkiti Covid-19 hanya boleh menjalani kuarantin di rumah sekiranya mengalami asimptomatik atau gejala ringan.

Persatuan Perubatan Indonesia mendesak kerajaan mengubah peraturan sedia ada dengan mendakwa pengasingan di rumah menghalang sebahagian besar pesakit Covid-19 mendapatkan rawatan perubatan dan kekurangan pemantauan memudahkan penularan virus itu.

HOSPITAL LAPANGAN

Ketika kes jangkitan Covid-19 meningkat, kerajaan berlumba-lumba membangunkan hospital lapangan dan kemudahan kuarantin baharu.

Ia termasuk sebuah blok apartmen di Pasar Rumput yang akan menawarkan kira-kira 6,000 katil baharu.

Kesemua kemudahan itu sudah beroperasi namun media tempatan melaporkan kurang daripada 300 pesakit Covid-19 yang menggunakan fasiliti setakat minggu ini.

Sementara itu, Siti Nadia berkata, jumlah katil sedia ada mencukupi untuk menampung 30,000 orang atau kes Covid-19 baharu yang dilaporkan setiap hari.

“Kini, pesakit mungkin tidak berdepan kesukaran untuk mendapatkan rawatan baik di pusat kuarantin atau di hospital,” katanya.

Meskipun kapasiti katil mencukupi, pesakit Covid-19 asimptomatik atau hanya mempunyai gejala ringan masih diberi pilihan untuk menjalani kuarantin di rumah. – AGENSI

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.