PORT-AU-PRINCE, Haiti |
Seramai 304 orang mati akibat gegaran gempa bumi kuat dengan 7.2 skala Richter melanda bandar Saint Louis du Sud, Haiti.
Gempa bumi yang melanda barat negara itu menyebabkan bangunan gereja dan hotel runtuh dan hancur akibat bencana tersebut.
Perdana Menteri, Ariel Henry mengisytiharkan darurat selama sebulan akibat kerosakan teruk di beberapa kawasan.
Katanya, pihaknya sudah mengerahkan pasukan keselamatan melakukan usaha menyelamat.
“Perkara paling penting adalah memastikan seberapa ramai yang masih hidup di bawah runtuhan.
“Hospital dimaklumkan mengalami kesesakan dengan mangsa yang cedera dan patah tulang,” katanya.
HENRY bercakap pada sidang akhbar di Port-au-Prince pagi tadi. - AFP |
Gempa yang meruntuhkan kediaman dan mendorong penduduk lari bertempiaran itu berpusat sekitar 160 kilometer ke barat ibu kota Haiti, Port-au-Prince.
“Banyak rumah musnah, penduduk terkorban dan sebilangan mereka dirawat di hospital,” kata seorang wanita, Christella Saint Hilaire, 21, yang tinggal berhampiran pusat gempa kepada agensi berita AFP.
Gempa awal yang panjang itu dapat dirasai di sebahagian besar rantau Caribbean.Bencana itu menyebabkan sekolah dan rumah di barat daya Haiti rosak, demikian menurut beberapa saksi.
“Sebanyak 304 kematian dilaporkan termasuk 158 di selatan Haiti. Beratus-ratus penduduk lain sama ada cedera atau hilang,” kata agensi perlindungan awam negara itu.
Haiti mengisytiharkan keadaan darurat sebagai tindak balas terhadap bencana itu, manakala seorang pegawai White House berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden bersetuju menghantar bantuan segera ke Haiti.
Kerosakan di bandar Les Cayes begitu teruk termasuk sebuah hotel berbilang tingkat yang runtuh.
“Saya menggerakkan semua sumber di bawah pentadbiran saya untuk membantu mangsa,” kata Perdana Menteri Haiti, Ariel Henry dalam satu kenyataan di laman Twitter.
Tidak lama selepas gempa berlaku, Jabatan Geologi AS mengeluarkan amaran tsunami. Menurutnya, ombak setinggi 3 meter mungkin melanda pantai Haiti, namun amaran itu ditarik balik tidak lama kemudian. – AFP