Gagal seludup burung, ayam laga RM65,000

Bekas yang berisi burung dan ayam seludup yang ditinggalkan di pangkalan haram Sota, Rantau Panjang semalam.



RANTAU PANJANG – Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk burung dan ayam laga bernilai RM65,000 ke negara ini di pangkalan haram Sota, Jeram Perdah di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 7.30 malam itu, PGA berjaya merampas seekor burung kakak tua bernilai RM35,000, 10 ekor anak burung conure matahari (RM10,000) dan empat ekor ayam laga (RM20,000).

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, pihaknya telah menjalankan intipan di kawasan itu sebelum melihat sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak-kotak dan bakul.

Menurutnya, apabila anggota PGA menyerbu kawasan berkenaan, sekumpulan lelaki itu bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu dengan menyeberangi Sungai Golok.

“Siasatan awal mendapati, kesemua haiwan itu dibawa masuk melalui pangkalan haram di sini susulan ia mendapat permintaan tinggi di negara ini.

“Kesemua rampasan itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Rantau Panjang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Azizan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Maqis 2011. – K! ONLINE

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.