England catat pertambahan sejuta kaki minum akibat ‘lockdown’

Disebabkan rasa bosan dan terasing, lebih ramai mengambil minuman berakohol pada waktu yang lebih awal ketika hari siang. – AFP




LONDON – Satu laporan data rasmi menunjukkan hampir sejuta penduduk England mengalami masalah ketagihan alkohol disebabkan perintah berkurung ketika Covid-19, lapor portal berita MailOnline semalam.

Menerusi satu kaji selidik yang dilakukan sebelum bermulanya pandemik, kira-kira 1.5 juta penduduk dewasa England minum sekurang-kurangnya 50 unit alkohol setiap minggu.

Angka ini bagaimanapun meningkat kepada 2.5 juta orang pada musim panas ini, di mana pakar-pakar menyatakan kenaikan itu disebabkan oleh peraturan sekatan Covid-19 yang berterusan.

Sebelum ini, Kesihatan Awam England (PHE) pada bulan lepas turut mengeluarkan data yang mendedahkan bahawa kematian yang diakibatkan secara langsung oleh alkohol meningkat sebanyak 20 peratus pada tahun pertama pandemik.

Pengarah Penyelidikan dan Polisi Perubahan Alkohol Britain, Lucy Holmes berkata, sebelum bermulanya pandemik, sudah ramai individu yang maut akibat alkohol dengan hanya satu daripada enam yang mengalami ketagihan tampil menerima rawatan.

“Bagaimanapun, data terbaharu ini menunjukkan bahawa sejak pandemik, lebih ramai orang kini mengambil minuman keras pada kadar yang berisiko tinggi dengan peningkatan terbesar dalam kalangan golongan berusia,” ujarnya.

Sementara itu, pakar psikiatri perunding di Hospital Priory Roehampton, Dr. Niall Campbell berkata, terdapat peningkatan bagi masalah ketagihan alkohol dalam kalangan mereka yang berumur 65 tahun ke atas sejak bermulanya pandemik ini.

Ini kerana menurutnya, golongan tersebut adalah yang paling mudah terdedah untuk mengalami masalah itu disebabkan mereka tinggal terasing daripada keluarga dan rakan-rakan.

“Disebabkan rasa bosan dan terasing, mereka mengambil minuman berakohol pada waktu yang lebih awal ketika siang hari.

“Mereka yang berumur 65 tahun ke atas adalah lebih terdedah kepada bahaya ketagihan alkohol terutamanya mengakibatkan penyakit-penyakit seperti hati, ulser perut, pankreatitis, penyakit jantung dan kerosakan otak,” katanya. – AGENSI

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.