Covid-19 di Perlis meletus! 61 kes jangkitan aharu

JUMLAH kes Covid di Perlis terus meletus dengan peningkatan kes setiap hari sejak kebelakangan ini.




Entah mana silapnya, Perlis yang sebelum ini kerap merekodkan sifar kes Covid-19 berubah dengan peningkatan ketara jumlah kes wabak berkenaan, sekali gus mencetus kebimbangan rakyat di negeri ini.

Hari ini, Perlis merekodkan 61 kes baharu iaitu angka tertinggi pernah dicatatkan sejak tercetusnya pandemik Covid-19 tahun lalu.

Perkembangan tersebut cukup membimbangkan di saat Perlis sudah menikmati sedikit kebebasan dalam Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara.

Kelonggaran itu diberikan selepas Perlis, Sarawak dan Labuan menunjukkan prestasi amat baik berkaitan krisis Covid-19 sehingga dibenarkan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara.

Peralihan negeri ke setiap fasa dalam Pelan Pemulihan Negara ditentukan berdasarkan tiga indikator nilai ambang iaitu kes harian Covid-19, peningkatan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) dan liputan vaksinasi untuk populasi sesebuah negeri.


PERLIS yang kerap merekodkan sifar kes Covid-19 sebelum ini mula menunjukkan peningkatan ketara jumlah kes Covid-19.
Gelombang jangkitan Covid-19 di Perlis semakin meletus apabila 61 kes baharu dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif sebanyak 246 kes.

Manakala jumlah kes kumulatif di Perlis pula telah mencecah empat angka iaitu 1,021 dengan setakat ini kekal dengan 13 kematian.

Selain Kuala Perlis yang mencatatkan 53 kes, jumlah kes di Sanglang dan Chuping terus meletus, masing-masing dengan 37 dan 28 kes selain beberapa kawasan lain yang terus menunjukkan peningkatan jumlah kes positif Covid-19.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, usaha keras untuk memasuki fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah diranapkan dengan kes jangkitan yang meningkat setiap hari kebelakangan ini.

Katanya, sebahagian kecil daripada kalangan masyarakat yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya akhirnya menjadi salah satu penyebab utama kes meningkat semula.


Kedai makan menjadi tumpuan penduduk di Perlis sebaik negeri itu beralih ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 yang membolehkan sektor perniagaan itu beroperasi secara 'dine-in'
Ujarnya, berdasarkan sumber-sumber tertentu, beliau berpandangan jumlah kes positif di Perlis akan terus meningkat dalam masa terdekat.

“Kenapa saya berpandangan sedemikian, sebabnya, di Perlis, sudah ada kluster kilang yang agak besar, iaitu kilang Shorubber di Jejawi.

“Sebahagian daripada pekerja kilang tempatan dan warga asing telah pun didapati positif. Mereka ini telah menyumbang kepada jangkitan kepada individu-individu lain di dalam masyarakat.

“Saya difahamkan, seramai 129 individu menjadi kontak rapat kluster Shorubber telah diarahkan untuk kuarantin. Sebahagian daripada operasi kilang juga telah diarahkan tutup,” katanya.

Tambah Azlan, usaha berterusan perlu dilakukan untuk mengurangkan penularan wabak berkenaan.

“Kerana kita masih perlu untuk terus berusaha untuk menangani situasi ini dan tidak boleh berundur ke belakang. Dan saya masih menaruh harapan agar bilangan kes terkawal dan semakin menguncup semula,” katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.