Tiga pekerja CNN dipecat kerana melanggar polisi COVID-19 dengan memasuki pejabat tanpa mendapatkan suntikan vaksin. - Foto AFP |
WASHINGTON: Tiga pekerja CNN dipecat kerana melanggar polisi COVID-19 dengan memasuki pejabat tanpa mendapatkan suntikan vaksin, lapor media Amerika Syarikat (AS).
Melalui memo dalaman yang diemelkan kepada kakitangan semalam yang diperoleh oleh beberapa media AS, Presiden CNN, Jeff Zucker, berkata seminggu yang lalu syarikat itu menyedari tiga pekerja yang datang bekerja tanpa menerima suntikan vaksin dan ketiga-tiga mereka sudah diberhentikan.
"Biar saya jelaskan - kami mempunyai dasar toleransi sifar mengenai hal ini," katanya dalam memo yang diciap oleh wartawan CNN, Oliver Darcy.
Memo itu tidak menyatakan nama, jawatan atau lokasi pejabat pekerja yang dipecat.
CNN juga enggan mengulas lanjut.
Rangkaian itu bergantung kepada sistem berasaskan kejujuran yang memerlukan pekerja mendapatkan suntikan tetapi tidak menuntut mereka menunjukkan bukti.
Bagaimanapun Zucker berkata, ia mungkin berubah pada masa hadapan.
Inokulasi adalah wajib bagi sesiapa yang melaporkan di lapangan, bekerja dengan pekerja lain atau memasuki pejabat, katanya dilaporkan dalam memo itu.
Pada Mei lalu, Kerajaan Persekutuan AS memutuskan, adalah sah bagi majikan untuk menghendaki kakitangan secara fizikal memasuki tempat kerja untuk mendapatkan vaksin.
Syarikat teknologi termasuk Facebook, Google dan Microsoft berkata, mereka akan meminta pekerja mendapatkan vaksin sebelum kembali ke pejabat di AS.
Syarikat itu adalah antara beberapa majikan utama AS yang baru-baru ini menyemak semula polisi virus mereka, mandat vaksin atau tarikh kembali ke pejabat berikutan varian Delta yang cepat menular mendorong peningkatan kes COVID-19.
Dalam catatannya kepada kakitangan, Zucker berkata, CNN akan menangguhkan tarikh kembali pejabat pada 7 September, kemungkinan sehingga bulan Oktober.
Katanya, kira-kira satu pertiga daripada kakitangan bilik berita AS pada masa ini menggunakan pejabat secara sukarela. - AFP