Hukum bermain daun terup asalkan bukan berjudi |
PUTRAJAYA: Umat Islam masih dibolehkan bermain kad daun terup dengan syarat tidak mempunyai sebarang unsur perjudian atau pertaruhan seperti permainan poker atau pakau.
Demikian penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi laman sosial Facebook rasmi agensi itu yang hantarannya turut disiarkan melalui laman sesawangnya kelmarin, menerusi jawapan untuk slot Al-Kafi Al-Fatawi bilangan 1,814.
“Hukumnya adalah dibolehkan asalkan tiada elemen perjudian, penipuan, pergaduhan dan masih menjaga batasan syarak seperti tidak meninggalkan ibadah solat fardu,” katanya merujuk soalan ditanya mengenai hukum bermain kad daun terup dengan sekadar suka-suka sahaja sebegitu tanpa bertaruh.
Bagaimanapun, pejabat mufti itu menasihatkan agar elak bermain kerana dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah masyarakat sekeliling disebabkan ia lazim dikaitkan sebagai perjudian.
Secara umumnya, kad daun terup adalah permainan ringan popular dan kebanyakan bermain tanpa ada melibatkan apa-apa pertaruhan tetapi sekadar meluangkan masa lapang.
Pejabat itu turut merujuk tafsir dari Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili yang menghuraikan firman Allah menerusi ayat 90 surah al-Maidah berhubung pengharaman judi sebagai amalan syaitan, dan larangan ini juga meliputi permainan dadu atau catur membabitkan pertaruhan, serta sekalipun tiada wang tunai digunakan, ia berpotensi menimbulkan permusuhan dan dendam.
“Tegahan itu selaras firman Allah melalui ayat 91 surah sama dengan maksudnya syaitan mahu cetus kebencian antara kamu disebabkan judi selain tidak lagi mengingati Tuhan,” katanya.
Justeru, pejabat berkenaan merumuskan perbuatan yang melibatkan pertaruhan adalah jelas hukumnya haram dan umat Islam wajar mengisi masa terluang dengan perkara bermanfaat.
Sehubungan itu, umat Islam lebih baik mencari alternatif permainan lain yang lebih bermanfaat kerana dibimbangi boleh jatuh siqah atau maruah akhlak agama kerana sifat kad ini agak mirip judi dan boleh menimbulkan fitnah masyarakat.
Kaedah sama turut digunakan untuk permainan mesin claw yang dihukumkan sebagai haram dan dilarang bagi umat Islam kerana sifatnya seperti perjudian bergantung kepada tuah nasib. – UTUSAN ONLINE