Bayi 5 bulan maut diserang burung murai |
BRISBANE: Seekor burung murai didakwa menjadi punca kemalangan yang menyebabkan seorang ibu kehilangan bayi perempuannya yang berusia lima bulan.
Kejadian yang berlaku di Taman Glindemann itu menyaksikan bayi perempuan tersebut yang dikenali sebagai Mia terlepas dari dukungan ibunya selepas wanita itu terjatuh akibat diserang burung murai berkenaan.
Media tempatan melaporkan, kaki wanita tersebut tersandung menyebabkan dia terjatuh dan Mia yang berada dalam dukungannya terlepas.
Kepala bayi perempuan itu didakwa terhantuk ke batu ketika ibunya terjatuh.
Insiden tersebut disedari orang ramai yang berada di lokasi dan membantu ibu serta anak itu mendapatkan rawatan perubatan.
PAPAN tanda peringatan mengenai serangan burung berbahaya di Taman Glindemann, Brisbane. - 9NEWS |
Penduduk Holland Park West memberitahu 9News, mereka sudah membuat aduan kepada majlis perbandaran mengenai spesies burung tersebut yang banyak terbang berkeliaran di taman itu.
“Burung murai ini sering menyerang kanak-kanak dan orang dewasa tanpa sebab,” kata mereka.
Sejak kejadian tragis Ahad lalu, pekerja majlis perbandaran memasang lebih banyak papan tanda mengenai serangan burung murai di taman berkenaan, selain burung yang didakwa menyerang Mia serta ibunya sudah ditangkap.
Jambangan bunga turut diletakkan di taman itu sebagai memperingati kematian Mia.
Mia mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di hospital. |