Aktiviti ziarah-menziarahi cetus 5 kluster

5 daripada 13 kluster yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kelantan semalam, tercetus daripada aktiviti ziarah-menziarahi.



Kota Bharu: 5 daripada 13 kluster yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kelantan semalam, tercetus daripada aktiviti ziarah-menziarahi.

5 kluster berkenaan adalah Kluster Kampung Jerimbong, Jeli; Kluster Kampung Kuin Merah, Kluster Kampung Gual Pasong Hantu, Kluster Kampung Bayu Lalang di Pasir Mas dan Kluster Kampung Huda 2, Kota Bharu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, Kluster Kampung Jerimbong dikesan selepas seorang wanita berusia 19 tahun yang dilaporkan positif pada 14 Ogos lalu selepas hasil saringan individu bergejala.

Katanya, kluster itu mencatatkan sembilan kes daripada 11 individu yang disaring.

"Sementara itu, Kluster Kampung Kuin Merah tercetus apabila seorang wanita berusia 49 tahun yang dilaporkan positif pada 14 Ogos. Seramai 17 individu yang disaring, 13 daripadanya positif Covid-19.

"Kluster Kampung Gual Pasong Hantu dikesan selepas wanita berusia 31 tahun dilaporkan positif pada 10 Ogos lalu. Daripada 45 orang yang disaring, 27 dilaporkan positif," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut Dr Zaini berkata, Kluster Kampung Bayu Lalang dikesan selepas wanita berusia 55 tahun dilaporkan positif pada 12 Ogos. Setakat ini, sembilan individu yang disaring dan lima daripadanya positif.

Beliau berkata, Kluster Kampung Huda 2 dicetuskan apabila wanita berusia 66 tahun dilaporkan positif pada 2 Ogos hasil saringan individu bergejala dan kes mula bergejala pada 30 Julai. Seramai 34 individu yang disaring dan 20 daripadanya positif Covid-19.

"Kita sentiasa mengingatkan orang ramai khususnya penduduk Kelantan supaya sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) kerana kes Covid-19 di negeri ini semakin meningkat.

"Masyarakat diminta memainkan peranan masing-masing untuk mengekang penularan wabak Covid-19 dan mengehadkan pergerakan atau tidak berada di kawasan yang sesak kecuali jika benar-benar perlu," katanya.

Kelantan semalam merekodkan 13 kluster iaitu 10 kluster komuniti, dua tempat kerja dan satu kumpulan berisiko tinggi. Jumlah kes baharu Covid-19 yang direkodkan di negeri itu adalah 1,227 kes dengan sembilan kematian.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.