KKM mengesan 47 kes lagi varian baharu virus SARS-CoV-2 yang kesemuanya adalah varian membimbangkan (VOC). |
Sebanyak 47 lagi kes varian baharu virus SARS-CoV-2 melibatkan Variant of Concern (VOC) dikesan melalui kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sehingga hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 46 kes varian Delta (India) (B.1.617.2) dan satu kes varian Beta (Afrika Selatan) (B.1.351).
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 667 kes. Sejumlah 647 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Noor Hisham berkata, secara keseluruhan, sehingga kini bagi VOC terdapat 209 kes varian Beta, 424 kes varian Delta dan 14 kes varian Alpha (United Kingdom) manakala, bagi VOI terdiri daripada 13 kes varian Theta (Filipina), empat kes varian Kappa (India) dan tiga kes varian Eta (Nigeria).