3 pengedar dadah ditahan bersama lebih 2kg Syabu

TANGKAPAN: Kesemua suspek dan syabu berkenaan di bawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

Kesemua suspek dan syabu berkenaan di bawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut.



LAHAD DATU: Tiga lelaki warga asing disyaki pengedar dadah ditahan bersama lebih dua kilogram (Kg) dadah jenis syabu dalam satu serbuan di Jalan Pantai , di sini kelmarin.

Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 3.20 petang itu adalah hasil daripada risikan dan maklumat orang awam mengenai aktiviti pengedaran dadah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis menjalankan tugas Op Tapis di lokasi kejadian.

“Semasa permerhatian dilakukan, pasukan polis melihat tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang melalui lorong bangunan berhampiran sebelum bertindak membuat pemeriksaan.

“Ketiga-tiga lelaki berkenaan cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan sebelum kesemua mereka berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan polis telah merampas satu beg plastik hitam yang dipegang oleh salah seorang daripada suspek berkenaan.

“Hasil pemeriksaan keatas beg plastik tersebut mendapati terdapat dua bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 2,130.48 gram.

“Kesemua suspek yang berumur 18 hingga 31 tahun itu juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap kesemua suspek mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

“Kesemua suspek dan syabu yang dianggarkan bernilai RM85,048 itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

“Kesemua suspek kini direman mengikut Seksyen 117 KPJ selama tujuh hari bermula hari ini (Sabtu) manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Rohan berkata syabu yang dirampas itu mampu menampung penggunaan seramai 10,695 orang penagih dadah di daerah ini.

“Pasukan polis terus berusaha mempertingkatkan usaha dan risikan bagi membanteras aktiviti pengedaran dadah di daerah ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, rekod daripada Januari hingga Julai tahun ini, seramai 182 tangkapan dilakukan melibatkan kesalahan berkaitan dadah.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.