2 Faktor Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tidak Sokong Shafie

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal




KOTA KINABALU: Kegagalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam usahanya menarik sokongan Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri dilihat mengundang persoalan walaupun kedua-duanya merupakan pemimpin dari Borneo.

Pensyarah Kanan Ilmu Politik dan Ketua Penyelidik GeOPeS (Sabah Geo-Politics & Electoral Studies) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Zaini Othman berkata, beliau melihat terdapat dua faktor utama GPS tidak menzahirkan sokongan terhadap Mohd Shafie.

Menurutnya, GPS dengan jelas sewaktu pembentukan mereka selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) antara lain menyatakan prinsip ‘No DAP’.

“Justeru, sekiranya GPS menyokong Shafie selaku calon Perdana Menteri bermakna GPS secara tidak langsung melanggar prinsip ‘No DAP’ yang mereka dokong dan kita tahu bahawa Warisan yang dipimpin oleh Shafie sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan sangat dekat berasosiasi dengan DAP,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, faktor kedua pula beliau berpendapat ia disebabkan strategi jajaran politik yang dibentuk dan diikat oleh GPS selepas PRU14 jelas bersifat ‘Sarawak Interests First’.

“Ia diperkukuhkan apabila GPS bersekutu dengan Perikatan Nasional (PN) selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Februari 2020.

“GPS dan asosiasi dengan PN dalam banyak hal khususnya yang bersifat ‘Sarawak Interests First’ dapat diperjuangkan dengan baik, khususnya aspek-aspek yang terkait dengan autoriti Sarawak dalam hak kewangan, perekonomian dan identiti Sarawak dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berbanding pentadbiran politik sebelum ini.

“Justeru, GPS tidak mahu kepentingan yang diusahakan itu ‘terencat’ sekiranya mereka beralih jajaran ikatan politik.

“Atas situasi itu, saya lihat ia merupakan pertimbangan utama mengapa GPS tidak memberi sokongan kepada Mohd Shafie selaku calon Perdana Menteri kesembilan walaupun kedua-duanya adalah dari Borneo,” katanya.

Zaini juga mengulas pandangannya beliau tidak melihat naratif politik Malaysia akan beralih paksi ke Malaysia Timur sekiranya Mohd Shafie menjadi Perdana Menteri.

“Ini kerana naratif politik antara lainnya adalah persoalan federalisme selain daripada persoalan seperti etnik, ekonomi dan juga demokrasi itu sendiri.

“Maksudnya, sesiapa sahaja yang menyandang jawatan sebagai Perdana Menterj tidak kira dari Sabah, Sarawak atau Semenanjung, persoalan yang saya nyatakan itu akan tetap diangkat sebagai paksi utama politik Malaysia.

“Namun tidak dapat dinafikan juga sekiranya jawatan Perdana Menteri disandang oleh individu dari Borneo, persoalan yang terkait dengan federalisme seperti hak negeri dan MA63 bakal mendapat fokus yang lebih dominan berbanding sebelumnya,” katanya. – HMetro

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.