Sebahagian remaja yang ditahan berpesta dalam sebuah rumah dekat kondominium mewah di Seksyen 7, Shah Alam awal pagi tadi. |
SHAH ALAM: Keseronokan 15 remaja termasuk pelajar sekolah berpesta di sebuah kondominium mewah di Seksyen 7 di sini, memakan diri apabila diserbu dan dicekup polis awal pagi tadi.
Dalam serbuan pukul 1.30 pagi, kesemua 11 remaja lelaki dan empat perempuan masing-masing berusia 16 hingga 20 tahun sedang menyertai ‘private party’ di kediaman sewa tersebut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, serbuan dilakukan pihaknya menerusi maklumat awam mengenai kewujudan pesta berkenaan.
“Ketika serbuan, semua remaja itu sedang duduk dan ada daripada mereka berada dalam keadaan khayal disyaki di bawah pengaruh dadah.
“Selain itu, mereka didapati keletihan selepas berparti sejak pukul 9 malam (semalam) dan sepatutnya tamat jam 4 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, selain 14 remaja termasuk empat pelajar sekolah, pihaknya turut menemui sejumlah dadah di lokasi kejadian.
“Kita merampas satu paket berisi bahan tumbuhan disyaki dadah ganja yang dianggarkan seberat 2.30 gram.
“Semakan mendapati penganjur pesta itu yang turut ditahan bekerja sebagai penghantar makanan dan memiliki rekod lampau kes dadah,” jelasnya.
Tambah beliau, kondominium itu disewa seorang suspek dengan kadar RM200 semalam dan mereka berkomunikasi menerusi aplikasi WeChat.
Kata Baharudin lagi, kesemua suspek dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Shah Alam bagi menjalani saringan air kencing.
“Hasil saringan awal mendapati seramai lapan daripada mereka positif dadah antaranya amphetamin dan methamphetamin.
“Tiga suspek turut didapati memiliki rekod jenayah bersabit dadah,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 15 kompaun dikeluarkan kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Kesalahan itu kerana menghadiri aktiviti berkumpul dengan kehadiran yang ramai sehingga sukar untuk melaksanakan penjarakan fizikal.
“Ia memperuntukan kompaun sebanyak RM2,000 seorang,” ujarnya.
Kata Baharudin, Majistret Shah Alam membenarkan reman selama tiga hari ke atas semua suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.- UTUSAN