Wanita berusia 61 tahun ini dikatakan sudah meninggal dunia sejak pukul 2.30 petang. |
PETALING JAYA – Waris kepada seorang wanita yang meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 petang tadi di Jalan Klang Lama Batu 5, dekat sini buntu apabila jenazah ahli keluarga mereka masih belum dapat diuruskan sehingga malam ini.
Pengerusi dan Pengasas Unit Kenderaan Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Wan Cai berkata, pasukannya tidak dapat berbuat apa-apa kerana pihak hospital perlu datang untuk mengesahkan kematian sebelum tindakan susulan boleh dilakukan.
“Mengikut prosedur kematian dirumah, petugas ambulans perlu datang untuk pengesahan kematian kemudian barulah tindakan susulan boleh dilakukan oleh pihak lain untuk pengurusan seterusnya.
“Waris berkata sudah beberapa kali menghubungi talian 999 untuk memaklumkan kematian ibunya namun belum mendapat jawapan yang pasti,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya malam ini.
Hantaran Wan Chai tular di media sosial dan dibanjiri lebih 600 komen dan dikongsi lebih 843 kali.
“Kementerian Kesihatan kena ambil jenazah bawa ke bilik mayat untuk ujian Covid-19 itu yang saya faham. Kalau ambulans tak datang ambil macam mana urusan hendak diselesaikan. kariah kampung pun tak berani dekat,” komen Dayang Ismail.
“Zaman pendemik tidak sama dengan zaman sebelumnya. Apa-apapun perlu tunggu pengesahan dari pegawai perubahan baru la pihak lain boleh bantu uruskn jenazah,” balas Zurizan Shahbudin.
Sementara itu, rakan kepada anak arwah yang hanya ingin dikenali sebagai Latif ketika dihubungi Kosmo! berkata, setakat pukul 11.30 malam tadi, jenazah arwah masih berada di rumah.
“Kami sudah beberapa kali menghubungi talian 999 yang disambung kepada dua buah hospital dan tidak pasti perlu menunggu sampai bila. Arwah berumur 61 tahun dan mempunyai empat orang anak,” katanya. – K! ONLINE